Parti baru Ramasamy mulakan kempen 'jangan undi PH'
PRK KKB | Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) - iaitu parti baru yang ditubuhkan beberapa bekas pemimpin dan ahli DAP - hari ini memulakan kempennya bagi menggesa pengundi di Kuala Kubu Bharu menolak PH.
Pengerusinya, P Ramasamy berkata gesaan itu sebagai pengajaran buat kerajaan persekutuan yang menurutnya tidak menunaikan janji kepada rakyat Malaysia.
"Kita hari ini turun di KKB sebagai hari pertama kempen bagi parti Urimai. Kami meminta pengundi di Kuala Kubu Bharu supaya jangan undi PH.
"Saya datang bukan untuk meraih undi kepada mana-mana parti, tetapi kita minta pengundi jangan undi kepada PH," katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Ramasamy merupakan bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dan pemimpin veteran DAP negeri itu. Dia keluar DAP pada Ogos tahun lalu.
Dia kemudian bersama beberapa lagi bekas ahli dan pemimpin DAP menubuhkan Urimai, yang kini masih menunggu keulusan daripada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS).
Ramasamy berkata dia berada di Kuala Kubu Bharu sejak pagi tadi dan telah berkempen di beberapa tempat, termasuk Rasa, Kerling, Batang Kali dan pekan Kuala Kubu Bharu.
"Di PRK, ada pertandingan empat penjuru. Permintaan kami mudah, iaitu jangan undi PH.
"Mereka masih ada pilihan udi undi calon PN, PRM dan calon bebas. Itu pilihan mereka dan kami tak akan masuk campur," katanya.
Ramasamy berkata walaupun keputusan PRK ini tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan Selangor dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dia berharap pengundi dapat menjadikannya sebagai ruang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
Dia juga menyifatkan keputusan DAP untuk meletakkan Pang Sock Tao sebagai calon adalah tanda parti itu mengamalkan kronisme.
Pang, 31 adalah setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
"Kita tahu DAP bukan sahaja parti untuk keluarga sahaja, Tetapi juga kepada kroni," dakwanya.
‘Bosan dengan Anwar’
Pernah menjadi penyokong kuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika masih bersama DAP, Ramasamy berkata dia kini "bosan" dengan Anwar yang didakwa tidak menunaikan janjinya.
"Sekarang saya rasa saya tersilap sokong dia menjadi perdana menteri. Dia tidak efisien dan paling lemah di kalangan perdana menteri sebelum ini," katanya.
Pang dicabar pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut yang mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai