Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kebebasan bersuara dan akademik di Barat lebih teruk - PSM

Nota editor: Laporan ini telah dikemas kini bagi memberikan gambaran lebih tepat mengenai kenyataan timbalan pengerusi PSM.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan meminta profesor dari Amerika Syarikat, Bruce Gilley supaya tidak bersikap hipokrit apabila membangkitkan isu kebebasan bersuara dan kebebasan akademik di Malaysia.

Dia berkata demikian ketika mengulas kritikan Gilley yang mendakwa Malaysia tidak selamat dikunjungi susulan pembatalan syarahannya di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Arutchelvan berkata meskipun dia tiada masalah untuk Gilley menyuarakan pendapat, namun profesor itu harus sedar bahawa kebebasan bersuara di negara-negara Barat dan Eropah lebih teruk berbanding Malaysia.

"Bagi saya, saya tak ada masalah orang ada pandangan berbeza tetapi apa yang dia cakap bagi saya adalah hipokrasi,” katanya kepada Malaysiakini.

Arutchelvan berkata di negara-negara Barat, ramai pensyarah dan pelajar dikenakan tindakan serta dibuang daripada Universiti jika bercakap mengenai isu Palestin atau anti-zionis.

"Di negara seperti di Amerika dan tempat-tempat lain, mahasiswa yang memperjuangkan isu Palestin diambil tindakan disiplin dan sebagainya. Jadi, langsung tidak ada kebebasan.

"Bila dia bercakap tentang Malaysia bukan bererti negara barat dan Eropah lebih baik daripada kita," katanya selepas sidang media khas di Rumah Hitam Muda di Petaling Jaya, hari ini.

Sebelum ini, Gilley mendakwa pemimpin politik Malaysia menganjurkan Holocaust kedua terhadap orang Yahudi ketika bersyarah di Universiti Malaya.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi membatalkan semua program dan aktiviti melibatkan Gilley, serta mengarahkan Universiti Malaya mengemukakan laporan segera berkaitan insiden itu.

Profesor itu kemudiannya meluahkan kemarahannya di laman X ketika meniggalkan Malaysia.

"Saya telah selamat berlepas dari Malaysia, satu langkah di hadapan kumpulan Islamofasis yang dimainkan oleh kerajaan di sana. Ini bukan negara yang selamat untuk dilawati sekarang. Perkembangan terkini akan menyusul," katanya.

‘Bolehkah dia bercakap tentang sistem beraja Thai?’

Gilley kemudian membuat hantaran susulan yang memaparkan gambar dua individu dipercayai rakannya dengan bendera Israel dan Thailand turut diletakkan pada sisi mereka.

Dia menulis; "Saya sangat bersyukur dengan rakan akademik saya yang berusaha mengeluarkan saya dari kesusahan. Saya berharap dapat menikmati kebebasan akademik di sini. Dan hiduplah hubungan Thailand-Israel yang berkekalan."

Mengulas hal itu, Arutchelvan menyelar Gilley sebagai hipokrit dan mempersoalkan adakah dia boleh bercakap mengenai negara lain seperti yang dibuat di Malaysia.

"Adakah dia boleh bercakap tentang sistem beraja di Thailand seperti dia bercakap isu Palestin-Israel di Malaysia?

"Jika dia boleh beri pandangan, dia juga kena terima bahawa orang Malaysia tidak menerima pandangannya," tambahnya.

Arutchelvan berkata PSM menganggap tindakan kerajaan yang membatalkan syarahan Gilley sebagai wajar.

"Kita tidak menyalahkan Universiti Malaya menjemputnya mungkin mereka tidak tahu (latar belakang).

"Tapi kalau dia (Gilley) membuat perbandingan tentang hak (kebebasan bersuara) di sini, bagaimana dengan orang-orang yang membela hak Palestin di Amerika?

"Hak pensyarah dan penjawat awam yang dikenakan tindakan serta dibuang kerja (kerana menyuarakan isu Palestin). Ia lebih teruk. Apa jadi (dengan) freedom di sana?” ujarnya lagi.