Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Ops Lalang: Kabinet tak bincang permohonan maaf buat mangsa - Fahmi

Mesyuarat kabinet hari ini tidak membincangkan mengenai gesaan yang dibuat ke atas kerajaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa penahanan tanpa bicara dalam Operasi Lalang, 37 tahun dahulu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai hal tersebut ketika ditanya pada sidang media di Kementeriannya, hari ini.

"Hal ini tidak dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet hari ini," katanya ringkas.

Sebelum ini, bekas hakim mahkamah rayuan Hishamudin Yunus (gambar bawah) menggesa agar kerajaan memohon maaf atas Operasi Lalang yang melibatkan penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, pada 17 April lalu.

Semalam, Fahmi memberitahu media bahawa kabinet belum membincangkan mengenai gesaan tersebut dan tidak memberi jawapan ketika ditanya jika dia akan membawa hal tersebut ke dalam mesyuarat kabinet hari ini.

“Terpulang kepada perdana menteri sekiranya itu satu perkara yang beliau ingin bincangkan,’ kata Fahmi.


BACA BERKAITAN:

Ops Lalang: Bekas tahanan ISA mahu k'jaan minta maaf


Untuk rekod, pihak polis melancarkan operasi pada November 1987 di bawah pemerintahan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Umno berpecah kepada dua kem susulan persaingan merebut jawatan presiden parti antara Mahathir dan pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 2017, Mahathir mengaku bertanggungjawab atas peristiwa itu tetapi tidak meminta maaf, menegaskan ia bukan keputusannya.

Mahathir juga berulang kali mengatakan Operasi Lalang dikendalikan pihak polis dan dia tidak ada kuasa untuk membantah perintah penahanan.

Seramai 106 aktivis, wartawan dan ahli politik pembangkang ketika itu ditahan di bawah ISA.

ISA ialah undang-undang pencegahan yang digubal pada 1960 dengan tujuan untuk membendung anasir subversif pengganas komunis.

Pada 15 Sept 2011, Najib Razak yang menjadi perdana menteri ketika itu mengumumkan pemansuhan ISA dengan menyifatkannya sebagai "undang-undang yang tidak lagi relevan."

Kerajaan kemudian menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) sebagai ganti undang-undang pencegahan ISA.

Selain penahanan tanpa bicara di mahkamah, ISA sering dikritik atas dakwaan salah guna kuasa, pelanggaran hak asasi manusia, penyiksaan dan penafian hak seperti tidak dibenarkan akses kepada peguam serta ahli keluarga.

Berhubung permohonan maaf oleh kerajaan atas kesilapan masa lalunya, menteri undang-undang Mohd Nazri Aziz pada 2008 pernah mengumumkan kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas yang dipecat ketika berlaku krisis kehakiman pada 1988.