Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

'Ada beza kebebasan bersuara dan fitnah'- Fahmi ulas laporan Amnesty

Malaysia bersedia mendengar pandangan daripada Amnesty International susulan kritikannya mengenai kegagalan kerajaan menambah baik undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara.

Bagaimanapun Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan terdapat perbezaan antara kebebasan bersuara dan fitnah.

"Walau kita menerima pandangan daripada Amnesty International, dalam masa sama ada perbezaan yang cukup jelas di antara kebebasan bersuara (dan fitnah).

"Itu tidak bererti (ada) kebebasan memfitnah dan fitnah merosakkan masyarakat dan negara kita," katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai laporan Amnesty International bagi tahun 2023 dan 2024 yang dikeluarkan semalam.

Laporan itu menyebut antara lain kerajaan masih gagal memberi komitmen bagi menambah baik undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara, mengancam ruang awam dan pelanggaran hak asasi manusia.

Badan itu juga menyatakan kebimbangan terhadap isu hukuman mati, kebebasan bersuara, keganasan polis dan kematian tahanan, hak asasi pelarian dan pendatang, hak orang asal dan hak mendapatkan persekitaran yang sihat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata adalah tidak menjadi kesalahan bagi mengkritik pentadbiran kerajaan tetapi bukan dengan membawa berita palsu serta mengada-adakan cerita.

Dia memberikan contoh berita palsu mengenai penyakit yang dihidapi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disebar pempengaruh serta penyokong pembangkang di media sosial.

"Itu fitnah jahat yang dibuat oleh beberapa individu," tambahnya.

Dalam pada itu dia berkata setakat ini belum ada wartawan ditangkap dan tidak ada mana-mana syarikat akhbar ditutup di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

"Belum ada wartawan yang ditahan seperti yang pernah berlaku dulu dan setakat ini tidak ada satu akhbar yang telah ditutup oleh kerajaan.

"Mana-mana wartawan yang menulis laporan, (boleh) terus menulis laporan. (Tapi) Kita membezakan kebebasan bersuara dengan kebebasan memfitnah," katanya.

Mengulas mengenai penghapusan hukuman mati secara total, Fahmi memberitahu perkara berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Menteri.

Sebaliknya, dia meminta agar soalan itu diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

"Perkara ini tak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini tapi saya mengambil maklum dan hal ini kita boleh rujuk dengan Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina," katanya lagi.