Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pengawal peribadi kena tembak di KLIA sudah sedar

Pengawal peribadi yang cedera parah akibat terkena tembakan ketika melindungi majikannya dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Ahad lepas sudah sedar dua hari lalu.

Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata keadaan Muhammmad Nur Hadith Zaini, 38, atau lebih dikenali sebagai Along, yang menerima rawatan di Hospital Cyberjaya ketika ini semakin pulih.

“Dia sudah sedar. (Pihak hospital) telah hentikan pemakaian alat bantuan pernafasan pagi tadi dan suami dah boleh bercakap sedikit,” katanya kepada Bernama semalam.

Insiden pada kira-kira 1.30 pagi pada 14 April lepas itu menyaksikan seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya telah terkena mangsa yang juga pengawal peribadi isteri suspek.

Suspek, 38, yang melarikan diri selepas kejadian, kemudian ditahan polis di Kota Bharu, Kelantan pada 15 April.

Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki itu selama tujuh hari dari 16 hingga 22 April bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Sekyen 8 Akta Senjata 1960.

-Bernama