Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Suspek kes tembak di KLIA direman 7 hari

Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direman selama seminggu, bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Perintah reman bagi membantu siasatan kes itu yang dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Suspek diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Atikah Abdul Karim.

Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu, diiring dan dikawal ketat oleh polis.

Semalam, suspek yang dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, dilaporkan ditahan di Kota Bharu sekitar jam tiga petang, selepas kira-kira 36 jam melarikan diri.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, dia disyaki melepaskan dua das tembakan dipercayai disasarkan kepada isterinya yang juga seorang pengendali umrah.

Bagaimanapun tembakan tersebut terkena seorang daripada dua pengawal peribadi wanita terbabit, menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

Hafizul kemudian melarikan diri dari KLIA dan pihak polis segera menjalankan usaha menjejak untuk menangkapnya.

Sementara itu ppolis akan mengadakan sidang media pagi ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, bagi memaklumkan perkembangan terperinci kes berkenaan.