Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

ULASAN | 6 soalan buat PKR menjelang ulang tahun ke-25

ULASAN | Pada 21 April 2024 ini akan berlangsung satu konvensyen khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya. Konvensyen tersebut akan diadakan di IDCC Shah Alam, Selangor.

Dalam tempoh satu perempat kurun, PKR telah mengalami jatuh dan bangun sebagai sebuah parti politik nasional. Bermula dengan penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.

PKN didukung pada awalnya oleh beberapa faksi. Antaranya ialah penyokong Anwar Ibrahim dari kalangan Umno seperti Saifuddin Nasution Ismail, Azmin Ali, Fauzi Abdul Rahman dan Mustapha Kamil Ayub (sekadar menyebut beberapa nama).

PKN juga didukung oleh pertubuhan belia dan NGO Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM( dan beberapa tokoh pemimpin Islam seperti Dr Sidek Fadhil, Dr Mohd Nor Manuty dan Fuziah Salleh.

Beberapa tokoh intelektual dan aktivis sosial dan hak asasi manusia turut terlibat di peringkat awal penubuhan PKN seperti Dr Chandra Mudzafar, Tian Chua, Irene Fernández, R Sivarasa, Elizabeth Wong dan Latheefah Koya (sekadar menyebut beberapa nama).

PKN kemudian berkembang dan berakar umbi melalui jalinan sejarah perjuangan apabila pada tahun 2003 bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) lalu membentuk satu entiti baru parti politik yang dikenali sehingga sekarang sebagai Parti Keadilan Rakyat, ringkasnya Parti Keadilan dan popular juga dengan singkatan PKR.

PRM adalah sebuah parti politik nasional yang ditubuhkan pada tahun 1955. Ia adalah pewaris sah Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang tegas dan konsisten memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris.

PRM di bawah pimpinan Dr Syed Husin Ali, Abdul Razak Ahmad, Dr Sanusi Osman dan Rustam A Sani (sekadar menyebut beberapa nama) telah menyambut baik gagasan Anwar Ibrahim yang pada waktu itu berada di dalam penjara supaya PKN dan PRM bergabung menjadi sebuah parti politik pelbagai kaum untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dalam tempoh 25 tahun yang mencabar ini, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin PKR telah melalui ujian yang amat getir dan berat dengan terpaksa keluar masuk penjara kerana memperjuangkan agenda reformasi dalam menghadapi tiga perdana menteri kerajaan BN, iaitu Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Sungguhpun begitu, PKR sebagai jentera organisasi politik menjulang perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim telah mengalami transformasi kualitatif dari sebuah organisasi massa rakyat di jalanan menjadi kekuatan tulang belakang dalam penubuhan beberapa kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Perak bermula pada tahun 2008.

Kemudian pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, PKR bersama-sama gabungan dengan DAP, Amanah dan Bersatu telah berjaya menumbangkan kerajaan BN dan buat pertama kalinya Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Tetapi ketika itu Anwar Ibrahim masih terpenjara. Maka, kemenangan PH dalam PRU-14 itu diikuti dengan pembebasan Anwar Ibrahim telah membuka ruang dan peluang kepada PKR dan PH dalam PRU-15, lima tahun kemudiannya pada November 2022 untuk sekali lagi membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dengan kali ini Anwar Ibrahim pula dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Bersempena sambutan Jubli Perak penubuhan PKR sudah tentu pemimpin dan anggota PKR seramai lebih sejuta orang itu di 222 buah kawasan parlimen di seluruh negara akan berani bermuhasabah dan memeriksa kekuatan parti mereka sendiri dengan menjawab sekurang-kurangnya 6 persoalan berikut di bawah ini:

Pertama: Bagaimanakah PKR dan PH dapat mengatasi kekangan untuk melaksanakan agenda reformasi dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh 19 buah parti politik?;

Kedua: Bagaimanakah PKR dan PH berusaha menghadapi cabaran sebagai sebuah Parti politik pelbagai kaum yang bersifat sederhana di tengah-tengah politik identiti kaum dan agama yang sempit dalam PRU-16 nanti?;

Ketiga: Apakah usaha dan strategi PKR dan PH untuk meningkatkan sokongan pengundi Melayu Islam supaya memihak kepada Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim?;

Keempat: Adakah sokongan masyarakat Cina, India dan pribumi di Sabah dan Sarawak masih teguh menyokong PKR dan PH?;

Kelima: Sejauh manakah rekod pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai Kerajaan Persekutuan cukup memuaskan sehingga rakyat bersedia untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ini dalam pilihanraya umum akan datang?; dan akhir sekali;

Keenam: Khusus kepada lebih sejuta anggota PKR untuk menjawab soalan ini iaitu sudah bersediakah PKR menyediakan calon-calon pengganti Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Perdana Menteri Malaysia yang akan datang apabila sampai masa dan saatnya Anwar Ibrahim akan berundur?

Selamat menyambut ulang tahun ke-25 PKR.


HASSAN ABDUL KARIM merupakan ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.