Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

IGP: Lelaki Israel dihadap ke mahkamah minggu ini

Lelaki Israel yang ditahan di Kuala Lumpur bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru bulan lalu dijangka didakwa di mahkamah minggu ini, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Razarudin berkata, pasangan warga tempatan yang didakwa menjual senjata tersebut kepada lelaki itu pula akan didakwa di mahkamah Klang hari ini.

"Suami isteri yang memiliki senjata api akan dituduh di mahkamah Klang hari ini.

"Berkenaan warga Israel, kita masih teruskan siasatan, kumpul lagi maklumat untuk dapat motif sebenar dia memiliki enam senjata api yang kita tahu diperolehi dari negara jiran.

"Jadi mungkin minggu ini juga pertuduhan terhadap warga Israel akan dibuat. Mungkin selepas raya," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, lelaki terbabit yang bernama Shalom Avitan mendakwa sedang memburu individu dipercayai warga Turki dan Amerika, Eran Haya.

Menurut laporan Times of Israel, Avitan merancang untuk membunuh Haya selepas kediaman Avitan di kawasan kejiranan Bavli di Tel Aviv, Israel menjadi sasaran serangan beberapa bom tangan oleh ahli kumpulan Haya pada pertengahan Mac lalu, iaitu lebih kurang tempoh sama Haya dikatakan masuk ke Malaysia.

Pada 12 Mac lalu, polis Malaysia menahan Avitan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan merampas enam pucuk pistol serta 200 butir peluru.

Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotelnya adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang ditemui didalam beg miliknya.

Avitan dipercayai masuk ke Malaysia menerusi Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Senjata Api 1960.

Dalam perkembangan lain, Razarudin memaklumkan seorang daripada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang cedera ditembak pada bahagian mata telah selamat menjalani pembedahan.

"Seorang (anggota) sudah menjalani pembedahan mata bagi mengeluarkan peluru. Alhamdulillah matanya tidak perlu dikeluarkan.

"Pada awalnya nak letak (ganti) mata palsu, tapi dia sudah selamat dan berada dalam keadaan stabil," kata Razarudin.

Tambah Razarudin, pihaknya percaya insiden tersebut membabitkan perompak laut yang mengambil kesempatan ketika musim perayaan.

"Kita nampak bahawa ini adalah kes rompakan laut. Apabila keadaan musim perayaan berlaku, ada yang nak balik ke Kunak ke Semporna dan Semporna ke Kunak di mana mereka mengambil kesempatan merompak bot di laut," tambahnya.

Media semalam melaporkan dua anggota APMM cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak, pagi semalam.

Pada sidang media sama, Razarudin turut memaklumkan pihaknya masih menyiasat kes bom petrol yang dilemparkan pada tiga kedai runcit KK Mart.

"Kita masih mengkaji lagi. (Hasil) Siasatan CCTV tidak membantu. Sekarang kita lebihkan dengan risikan dan dengan bantuan (maklumat) orang ramai," katanya kepada pihak media.