Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Ahli KPF minta tarikh akhir bayaran jualan saham fasa kedua

  • Dikemas kini dengan tambahan maklumat daripada pemakluman kepada anggota lembaga di laman webnya.


Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) diminta memberikan tarikh akhir pembayaran jualan saham anggotanya bagi fasa kedua dari bulan Ogos 2023 sehingga Mac 2024.

Wakil anggotanya, Mohammad Rosli Yaakob berkata, melalui mesyuarat bersama pengurusan KPF pada Feb lalu, pihak koperasi itu bersetuju menyelesaikan pembayaran syer berkenaan secara berkala, namun tertakluk kepada ketersediaan tunai dan mengikut giliran.

Bagaimanapun, Mohamad Rosli berkata pihaknya meminta agar satu tarikh akhir diberikan untuk semua bayaran tersebut diselesaikan oleh KPF.

"Pada mesyuarat 16 Feb lalu, KPF memberitahu akan buat bayaran secara dua peringkat tapi kami tiada maklumat berkenaan apa kaedah penggiliran yang digunakan bagi pembayaran berkala itu.

"Kami juga memohon pihak KPF memberikan tarikh akhir bagi membuat bayaran penebusan syer anggota dari Ogos 2023 sehingga Mac 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pejabat KPF diserbu sekumpulan anggota koperasi bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran penebusan syer dan dividen.

Susulan itu, KPF memberi jaminan akan membayar penebusan jualan saham kepada anggota koperasi itu dari bulan Feb hingga Julai tahun lalu yang berjumlah RM22.9 juta.

KPF juga memaklumkan permohonan penebusan selebihnya akan dibayar secara berkala mengikut sistem penggiliran serta ketersediaan tunai.

"Bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada permohonan yang mempunyai bukti sokongan seperti urusan haji, sakit kritikal atau lain-lain urusan yang munasabah mengikut pertimbangan dan kelulusan lembaga," kata KPF dalam satu kenyataan pada 16 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohammad Rosli berkata pembayaran untuk penebusan saham bagi bulan Feb hingga Julai tahun lalu telah pun diselesaikan.

"Hampir 90 peratus pembayaran bagi anggota yang membuat penebusan pada Feb hingga Julai tahun lalu telah dibayar, namun masih terdapat ahli yang belum mendapat bayaran," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pihak KPF namun tidak berjaya mendapatkan sebarang penjelasan.

Campur tangan pengerusi Felda

Mengulas lanjut, kata Rosli, disebabkan masalah yang berlaku, semakin ramai anggota hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap KPF.

Katanya, pihaknya menuntut KPF menerangkan langkah yang diambil untuk membayar penebusan syer anggota yang tertangguh serta aset yang dilupuskan dan sumber kewangan lain yang dikenal pasti untuk membayar kembali wang anggota.

"Sebagai anggota KPF, kami menyimpan dan melaburkan wang kami dalam koperasi ini dengan harapan akan dapat menggunakannya dalam masa-masa kecemasan dan untuk simpanan hari tua.

"Namun sangat dikesalkan apabila kami terpaksa menunggu masa yang begitu lama untuk mendapatkan wang kami kembali," kata Rosli.

Tegasnya, wang penebusan syer tersebut amat diperlukan anggota untuk menampung perbelanjaan harian serta lain-lain kos seperti kos perubatan, pendidikan, membaiki rumah dan menunaikan umrah.

"Ada di kalangan anggota terpaksa meminjam dengan pihak lain sementara menunggu jualan saham mereka dibayar oleh KPF," katanya lagi.

Menurutnya, ada anggota KPF telah menunggu hampir setahun untuk mendapatkan wang mereka.

Justeru, Rosli meminta campur tangan daripada Pengerusi Felda Shabery Cheek bagi menyelesaikan isu ini memandangkan anggota KPF terdiri daripada peneroka, generasi kedua, kakitangan serta bekas pegawai Felda.

“Kami memohon agar Datuk Seri Shaberi dapat meneliti kedudukan kewangan KPF dan masalah aliran tunainya serta memberikan buah fikiran bagi menyelesaikan kemelut yang melanda koperasi ini,” katanya.

‘Kami faham keresahan anggota’

Sementara itu, KPF dalam pemakluman kepada anggota lembaganya berkata tunggakan penebusan syer bagi tempoh Januari hingga Julai tahun lalu telah selesai melibatkan dana RM50 juta.

Menurut maklumat di laman webnya, penebusan antara Ogos ke Disember 2023 pula akan diproses secara berperingkat.

PPF bagaimanapun tidak menyatakan tarikh akhir pembayaran akan dibuat.

"Kami amat memahami segala kesulitan dan keresahan yang dihadapi oleh anggota dan sentiasa berusaha menangani isu ini dalam situasi kewangan yang sangat mencabar ketika ini,” kata koperasi itu.