Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Saifuddin tiada maklumat wujud titah Najib jalani penjara di rumah

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dia tiada maklumat berhubung bahagian addendum (tambahan) dalam pengampunan diraja yang membenarkan Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Katanya, dia hanya menerima surat permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

“Dan saya tiada maklumat berkaitan dokumen tambahan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya, hari ini.

Saifuddin mengulas dakwaan Najib semalam bahawa dia memperoleh addendum dalam pengampunan diraja yang membenarkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Najib semalam membuat dakwaan itu dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 April lalu.

Dalam semakan kehakiman itu, dia memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan dakwaan itu.

Menurut salinan permohonan semakan kehakiman itu, Najib mendakwa bahagian tambahan itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin juga berkata dia tidak pernah melihat addendum terbabit.

“Tidak, tidak (nampak addendum terhadap Najib). Saya bukan anggota Lembaga Pengampunan. Saya pun tidak tahu.

“Sebab itu saya kata, saya akan teliti seatakat mana yang ada pengetahuan kepada kita,” katanya.