Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Perbicaraan kes 1MDB terpaksa ditangguh kerana Najib cirit-birit

Perbicaraan kes rasuah membabitkan Najib Razak hari ini terpaksa ditangguhkan lebih awal selepas timbalan perdana menteri itu didiagnosis mengalami masalah cirit-birit.

Seorang pegawai perubatan dari Penjara Kajang, Mohd Hafiz Mohd Hoshini, membuat diagnosis itu dan memaklumkan kepada hakim Collin Lawrence Sequerah sambil disaksikan Najib dari dalam kandang tertuduh.

Najib yang juga bekas presiden Umno sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kes rasuah wang 1MDB bernilai RM2.27 bilion.

Dengan keadaan itu Sequerah menangguhkan perbicaraan untuk disambung semula pagi esok.

Hafiz berkata, semasa perbicaraan berhenti sebentar pagi tadi, Najib, 70, mengadu tidak sihat akibat cirit-birit.

“Dia (Najib) pergi ke bilik air tiga kali. Selepas membuat pemeriksaan, saya dapati dia agak lemah dan dehidrasi serta letih,” katanya.

Mohd Hafiz juga memaklumkan kepada mahkamah, dia memberi preskripsi ubat buscopan dan lomotil kepada Najib bagi mengatasi masalah cirit-biritnya.

“Kesan sampingan ubat-ubatan itu ialah Najib akan mengantuk dan mungkin tidak selesa berdiri atau duduk untuk jangka masa yang lama.

“Beliau boleh duduk (di kandang tertuduh), tetapi dikhuatiri ada kesan sampingan mengantuk,” katanya.

Mohd Hafiz juga menjelaskan Najib sedang mengalami masalah tekanan darah rendah, justeru keadaan itu lebih tidak melayakkannya untuk menjalani perbicaraan.

Apabila Sequerah bertanya berapa hari Najib perlu MC (bercuti sakit), Mohd Hafiz berkata dia mengesyorkan hari ini dan esok.

Bagaimanapun, hakim itu yang mendengar perbicaraan Najib sejak 2019 berkata mahkamah tidak boleh menangguhkan lagi prosiding itu, justeru hanya akan membenarkan penangguhan untuk hari ini.

"Hari ini sahaja. Saya tidak boleh terus menangguhkan seperti selama dua hari.

"Saya membenarkan rehat untuk hari ini dan perbicaraan diteruskan esok pada jam 9 pagi,” kata Sequerah yang merupakan hakim mahkamah tinggi ketika perbicaraan bermula dan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan sejak Jan tahun lalu.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib yang juga bekas menteri kewangan dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos tahun yang sama.