Duta baru - Boikot jejaskan rakyat Malaysia, bukan AS, Israel
Kempen boikot yang berterusan terhadap beberapa syarikat rantaian berkaitan Amerika Syarikat di Malaysia akhirnya akan memberi kesan dan menjejaskan pekerja tempatan di negara ini, kata Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.
Bercakap pada sidang media rasmi pertamanya, hari ini, Kagan, berkata, orang ramai mempunyai hak untuk menyatakan pandangan mereka secara aman, termasuk melalui boikot dan tindakan protes.
“Saya lega kerana boikot (di Malaysia) berjalan dengan aman.
“Saya rasa adalah malang kerana akhirnya seperti kebanyakan kamu tahu, dua syarikat utama yang diboikot itu, satu dimiliki oleh rakyat Malaysia dan satu lagi oleh Saudi.
"Mereka yang terkesan dan menderita akibatnya adalah pekerja Malaysia," kata Kagan.
Sejak pembedilan dan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di bumi Gaza memuncak, antara jenama utama berkaitan AS yang telah menjadi sasaran boikot, termasuk McDonalds dan Starbucks, yang mempunyai cawangan mereka di hampir seluruh Malaysia.
Walaupun Kagan tidak menamakan sebarang jenama, Starbucks dimiliki oleh Berjaya Group, manakala syarikat yang menguruskan McDonald's di Malaysia dimiliki oleh sebuah syarikat Arab Saudi.
Bulan lalu, McDonald’s Malaysia melalui Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) - pemilik francais McDonald’s di Malaysia - menarik balik saman undang-undang terhadap Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) berikutan proses mediatasi.
“Saya rasa mungkin ada kepuasan simbolik dalam perbuatan itu (boikot), namun akhirnya bukan orang Israel atau AS yang terluka. Dalam hal ini, itu adalah malang,” kata Kagan.
Pada masa sama, Kagan juga mengukuhkan semula komitmen kerajaan AS menghormati hak untuk berhimpun secara aman dan protes, termasuk ketika mereka menjadi “sasaran” rakyat Malaysia yang meluahkan ketidakpuasan terhadap Israel.
“Saya berbohong jika berkata kami teruja orang melihat kami sebagai cara untuk menyatakan ketidakpuasan dengan Israel.
“Tapi saya faham itu adalah realitinya, dan kami faham perkara ini mencerminkan sentimen rakyat Malaysia,” katanya.
“Kami menyokong hak untuk protes secara aman.
“Dan jelas keutamaan kami adalah mereka tidak melihat kami sebagai cara untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap Israel kerana kami bukan Israel," katanya.
Dia juga menyatakan penghargaan kepada usaha kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan pegawai AS di sini ketika berhadapan dengan protes umum.
Kedutaan AS menjadi sasaran “pengepungan” simbolik anjuran beberapa NGO pro-Palestin dan aktivis selama enam hari pada Disember tahun lalu, membantah AS menggunakan kuasa veto dalam menghalang usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan gencatan senjata di Gaza semasa serangan berterusan oleh Israel.
Mengulas lebih lanjut, Kagan berkata misi AS di sini membawa pendirian teguh dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap warga Palestin di Gaza kepada pentadbiran Presiden Joe Biden.
“Saya rasa cabaran jelasnya adalah bagaimana untuk menterjemah tindakan bermakna yang membawa kepada gencatan senjata, pembebasan tebusan, dan usaha untuk menangani penderitaan di sana (di Palestin),” katanya.
Dalam satu keputusan bersejarah pada 29 Mac lalu, hakim-hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebulat suara memerintah Israel untuk mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menjamin penghantaran bekalan makanan asas kepada penduduk Palestin yang terkepung di Gaza.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai