Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Umno S'gor tak sehaluan, hambar - Zafrul mungkin dihasut, kata Zaidi

Umno Selangor tampil menafikan dakwaan dibuat Tengku Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan jawatan bendahari Umno negeri itu.

Ketua Penerangan Umno negeri Mohd Zaidi Md Zain menegaskan bahawa sangkaan dan tuduhan liar dibuat Zafrul kepada Umno Selangor adalah tidak benar sama sekali.

“Saya terkejut dengan pengumuman peletakan jawatan Tengku Zafrul dibuat melalui media sosial.

“Tengku Zafrul sepatutnya bincang atau tulis surat rasmi dengan pengerusi Umno Selangor (Megat Zulkarnain Omardin) dulu sebelum luah perasaan tak puas hati.

Gambar fail, Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin.

“Apa-apa masalah dalaman Umno Selangor boleh selesai melalui meja rundingan dan perbincangan,” katanya dalam kenyataan media sebagai mengulas laporan berhubung dakwaan Zafrul susulan peletakan jawatannya.

Semalam menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu antara lain mendakwa perancangan kebangkitan parti itu di Selangor sebagai hambar, dan tidak sehaluan dengan tema di Umno pusat.

Selain itu Zafrul berkata Umno Selangor begitu banyak bergantung kepada sikap dan pendekatan kepimpinan negeri.

Bagaimanapun Zafrul berkata dia akan meneruskan tugas dan peranan sebagai ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata Zafrul tidak wajar membuat tuduhan melulu tanpa mendapatkan maklumat tepat dari pimpinan tertinggi Umno Selangor.

Malah katanya, tuduhan kononnya perancangan Umno Selangor tidak sehaluan dengan pusat adalah sesuatu yang amat meleset dan jauh daripada kebenaran.

“Ini kerana Datuk Megat Zulkarnain adalah ketua setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri yang merupakan presiden Umno.

“Sudah tentu segala tindak tanduk dan keputusannya adalah selari dengan pendirian presiden parti.

Jarang hadir mesyuarat

“Umno Selangor dalam keadaan baik-baik sahaja tidak ada krisis dalaman. Datuk Megat Zulkarnain mendapat sokongan padu dari semua ketua bahagia dan ketua sayap,” jelasnya.

Tambah Mohd Zaidi, Tengku Zafrul juga jarang menghadirkan diri ke mesyuarat Umno Selangor bagi membolehkannya menyuarakan bantahan atau mempersoalkan keputusan dibuat Umno Selangor selama ini.

“Paling tidak pun boleh berbincang dengan Datuk Megat Zulkarnain kerana sering berjumpa di program lain.

"Kita kena siasat perkara berkenaan kerana mungkin dia terpengaruh atau dihasut pihak ketiga,” kata Mohd Zaidi lagi.