Tiket bas Aidilfitri di hujung tanduk
Penjualan tiket bas ekspres bagi perjalanan dari Lembah Klang ke semua destinasi di seluruh Semenanjung menghampiri kapasiti maksima penumpang berikutan musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Wan Mohd Iskandar berkata pihaknya telah menjual sebanyak 90 peratus atau 475,200 tiket, daripada 528,000 yang disediakan, setakat 18 Mac lalu.
“Kesemua tiket yang terjual adalah bagi perjalanan bermula 4 April sehingga 15 April, melibatkan perjalanan dua hala dari Lembah Klang ke negeri-negeri di Utara, Selatan dan Pantai Timur,” jelasnya.
Beberapa penumpang menyatakan keresahan mereka tidak dapat membuat pembelian tiket bas untuk beraya di kampung halaman mereka masing-masing.
Nurin Aisha, pelajar pelatih berasal dari Terengganu (gambar atas) membuat semakan melalui laman sesawang pembelian tiket mendapati tiket yang ingin dibelinya tidak lagi dipaparkan.
“Saya bercadang nak balik pada hari raya ketiga namun apabila saya tengok laman sesawang tersebut, dinyatakan “no trip found” (tiada perjalanan disediakan).
“Sebenarnya saya tak boleh balik pada raya pertama dan kedua kerana kerja, tapi saya check (semak) tiket memang dah habis.
“Pilihan terakhir yang saya adalah balik dengan kapal terbang tapi tiketnya sangat mahal,” katanya kepada Malaysiakini.
Penumpang ke Kelantan, Tuan Afnan Hazimi (gambar atas) juga resah apabila tiket yang ingin dibelinya antara 6 hingga 8 April telah pun habis.
“Saya ingat nak balik menaiki kapal terbang tapi tiketnya berharga RM800.
“Mungkin saya akan balik dengan menaiki kereta bersama rakan sekerja saya kerana tiket keretapi pun habis,” jelasnya.
Khidmat Pelanggan TBS menyatakan tiket bas ekspres ke destinasi Pantai Timur paling mendapat sambutan tinggi pada sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Malaysiakini telah meminta penjelasan lanjut daripada Pengurus Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkenaan penambahan tiket melalui emel namun masih tiada maklum balas daripada pihaknya.
Bagaimanapun, semakan pada laman web perkhidmatan bas mendapati tiket bas ekspres bagi perjalanan dari Lembah Klang ke hampir seluruh destinasi di Semenanjung masih lagi dijual kecuali ke Kelantan pada tarikh 6 sehingga 11 April.
Namun kapasiti tempat duduk yang ditawarkan bagi setiap perjalanan bas tidak begitu banyak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai