Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Beri ruang lebih luas bahas pindaan kewarganegaraan - Saifuddin

Perbahasan untuk cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung undang-undang kewarganegaraan perlu diberi ruang lebih luas, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, semua ahli parlimen akan berpeluang membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 pada sesi Dewan Rakyat yang akan datang.

"Semalam hari terakhir sidang. Hari ini cuti. Dalam aturan persidangan RUU Perlembagaan selepas RUU Keselamatan Siber (2024).

"Perbahasan warganegara mesti diberi ruang yang lebih luas kepada ahli parlimen untuk ambil bahagian.

"Bacaan pertama dan kedua (RUU) dah selesai. Hanya perbahasan dibawa ke sidang (parlimen) depan," katanya kepada Malaysiakini.

RUU ini memerlukan majoriti dua pertiga ahli parlimen memandangkan ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Bayi terbuang, anak pungut

Pada Isnin lalu, Saifuddin membentangkan RUU itu untuk bacaan pertama dan berkata bacaan kedua dan ketiga juga akan dibuat pada sesi kali ini, yang berakhir hari ini.

Ini selepas kerajaan setuju untuk menggugurkan pindaan yang menafikan kewarganegaraan automatik untuk bayi terbuang dan anak pungut.

Kerajaan juga menggugurkan pindaan yang memberi kesan kepada Orang Asli yang tidak berstatus kewarganegaraan.

Namun, sejumlah pihak berkata pindaan yang dikekalkan tetap bermasalah.

Ketika pembentangan semalam, Saifuddin sekali lagi menyatakan pindaan perlembagaan tersebut bukan bertujuan menafikan hak mendapatkan kewarganegaraan kepada mana-mana kumpulan masyarakat.

Sebaliknya, dia berkata RUU itu dirangka dengan cermat bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, yang merupakan perkara paling utama.