Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Kebakaran Kayu Madang: Ibu bapa, pelajar risau udara tercemar

Ibu bapa dan pelajar di kawasan sekitar tapak pelupusan Kayu Madang di Kota Kinabalu gusar udara tercemar akibat kebakaran di situ, yang memasuki hari kelima hari ini, menjejaskan kesihatan mereka.

Tinjauan Bernama mendapati antara sekolah yang terkesan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telipok, SK Lapasan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Telipok dan Sekolah Menengah (SM) St Peter selain Politeknik Kota Kinabalu yang terletak tiga hingga lima kilometer dari tempat kejadian.

Suri rumah Siti Rusnah Rahman, 46, berkata guru sekolah anaknya (SK Lapasan) memaklumkan sesi persekolahan terpaksa ditamatkan lebih awal semalam, susulan kualiti udara tidak baik dan cuaca panas yang dikhuatiri menjejaskan kesihatan pelajar.

“Guru minta kami ambil anak awal sekitar pukul 9 pagi kerana udara tidak berapa baik ditambah sekolah atas bukit, terima kasih guru amat prihatin dengan anak-anak kami, tetapi risau juga mahu bagi anak pergi sekolah jika ini berterusan,” katanya kepada Bernama.

Juruteknik kilang kaca Mohaidie Md Sain, 36, berkata anaknya yang bersekolah di SK Pekan Telipok mengadu sakit tekak sejak dua hari lepas walaupun telah memakai pelitup di sekolah.

“Bau asap lain macam seperti bau getah terbakar kerana saya difahamkan yang terbakar banyak tayar di tapak itu, itu sebab kita tengok asap keluar itu warna hitam jadi asap begini memang lebih bahaya. Jadi saya beritahu anak kumur-kumur dan basahkan tekak,” katanya.

Anggota tentera Adam Hakimi Romme, 42, yang mempunyai anak bersekolah di SMK Pekan Telipok berharap Jabatan Pendidikan negeri memantau situasi tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

Susulan cuti panjang hujung minggu ini, beliau dan keluarga merancang ke Kundasang untuk 'lari' seketika dari situasi itu.

Pelajar tingkatan 4 SM St Peter, Lionel Edry Linus berkata buat masa ini pihak sekolah hanya membenarkan aktiviti dalam kelas sahaja dan menasihatkan pelajar supaya memakai pelitup muka.

“Mata pun jadi gatal-gatal, merah dan kering, selalu kena letak ubat titis mata, memang sukar dan amat tidak selesa belajar begini. Cuaca pun panas," katanya.

Pelajar Diploma Ukur Bahan, Politeknik Kota Kinabalu Ami Syuhada Imran, 21, berkata kualiti udara yang tidak beberapa baik menyukarkan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, justeru pensyarah telah mengadakan kelas dalam talian bagi mendepani situasi itu.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata kebakaran yang bermula pada tengah hari Ahad lepas dipercayai berpunca daripada kebakaran di hutan berhampiran yang merebak ke tapak simpanan tayar terpakai.

Timbus tanah tujuh hari

“Beberapa langkah keselamatan diambil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengurangkan asap kebakaran tayar dengan menggunakan tanah.

"Kerja-kerja penimbusan tanah akan diteruskan sehingga selesai dan dijangka akan mengambil masa selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memahami keluh-kesah penduduk dan memohon mereka supaya bersabar serta mengambil langkah keselamatan pada ketika pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta pihak berkaitan lain berusaha memadam kebakaran tersebut.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Ordine Gilu hari ini memaklumkan operasi pemadaman telah mencapai 77.5 peratus setakat semalam.

- Bernama