Rafizi: Ada ahli politik kritik Padu sebab isu peribadi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kritikan beberapa ahli politik, termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi, berhubung Pangakalan Data Utama (Padu) hanyalah bersifat peribadi.
Rafizi berkata kritikan tersebut langsung tidak menjejaskan pelaksanakan sistem itu sebaik sahaja tempoh proses pendaftaran serta kemas kininya berakhir pada 31 Mac ini.
“Yang bising ini Puad Zarkashi saja. Puad ini kalau Malaysia kaya raya pun dia masih lagi tak bersetuju dengan saya kerana dulu saya bawa isu 1MDB semasa dia menjadi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan dia kalah pilihan raya.
“Jadi ia (bersifat) peribadi. Kalau tengok ada tiga, empat tokoh politik yang bising itu kerana (isu) peribadi tapi itu tidak menghalang (pelaksanaan Padu),’ katanya kepada pemberita selepas majlis prapeluncuran Acara Perdana KL20 di Parlimen, hari ini.
Pada 24 Mac lalu, Puad menyifatkan sistem Padu sebagai gagal ekoran kelemahan dalam sistem kerja serta komunikasi.
Dia juga berkata ia menggambarkan kegagalan Rafizi sebagai menteri yang bertanggungjawab atas sistem tersebut.
"Rafizi dikaitkan dengan 'raja formula' gagal. Formula dia semua tidak menjadi. Padu itu Rafizi, Rafizi itu Padu. Padu dilihat gagal," katanya, sambil membangkitkan kerajaan Sarawak yang dengan terbuka menyatakan kebimbangan berkaitan sistem itu.
Berkenaan kebimbangan itu, Rafizi sebelum ini berkata sesi taklimat akan diadakan bersama-sama wakil kerajaan Sarawak bagi menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan.
Setakat 23 Mac lalu, bilangan pendaftaran dalam sistem Padu meningkat kepada 7.7 juta, berbanding 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac lepas.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata kritikan beberapa pihak tidak menghalang pendaftaran orang ramai dalam sistem itu.
"Contohnya minggu lepas, setiap hari ada 300,000 ke 400,000 orang mendaftar. Kita selalunya akan tumpu empat, lima orang yang buat bising itu. Tetapi apa jadi dengan 300,000 ke 400,000 yang mendaftar setiap hari ini?
"Kalau dia (pengkritik) kata tak yakin kerana soal keselamatan data, kita sudah bentangkan sejak 2 Januari sampai sekarang (berkenaan keselamatan).
"Walaupun ada ketika serangan (terhadap sistem) sampai dua juta cubaan seminggu, sampai sekarang (data) masih belum bocor," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata Malaysia akan mengadakan persidangan sulung bagi syarikat pemula (startup) dikenali sebagai KL20, yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 dan 23 April depan.
Dia berkata acara berkenaan adalah antara usaha kerajaan untuk melonjakkan nama negara sebagai antara ekosistem syarikat pemula terbaik dunia, selain menjadi pintu masuk inovasi di Asia Tenggara.
"Kalau kita tengok kepada bidang-bidang yang menjadi tumpuan pelaburan syarikat modal terbuka, ia ada beberapa (antaranya) Kecerdasan Buatan (AI), semikonduktor tinggi serta peralihan tenaga.
"Untuk KL20, setakat ini minat daripada pelabur adalah dalam bidang-bidang utama yang disebut tadi, sebab itu speaker dan tokoh-tokoh yang akan berucap mewakili bidang tersebut," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai