Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Keluarga Nhaveen protes AGC, dakwa kurang kemas kini

Ahli keluarga mendiang T Nhaveen hadir di Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini untuk bertanyakan perkembangan kes remaja yang dibunuh itu.

Bagaimanapun, mereka tidak berpuas hati apabila hanya ditemui pegawai perhubungan awam daripada AGC.

Ini membawa kepada protes duduk di luar, dengan rancangan untuk protes lain minggu depan.

Oktober lalu, Mahkamah Tinggi di George Town melepas dan membebaskan lima individu yang dituduh menyebabkan kematian Nhaveen, yang didakwa mati akibat buli ganas pada 2017.

Keluarga mendiang mendesak agar AGC merayu pembebasan itu.

Shanti bersama Arun Dorasamy, pengerusi Liga Tindakan & Penyiasatan Nhaveen dan beberapa saudara dan rakan lain, tiba di AGC sekitar jam 10.30 pagi.

Mereka berharap dapat membuat petisyen kepada individu penting yang bertanggungjawab bagi kes itu dan menerima maklumat terkini tentang perkembangan terkini rayuan itu.

Mereka meminta pertemuan dengan Mohd Dusuki Mokhtar, ketua bahagian rayuan dan perbicaraan AGC serta wakil lain daripada bahagian itu serta pejabat peguam negara.

Bagaimanapun, AGC hanya menghantar pegawai perhubungan awam, yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Mohd Hafiz, untuk bertemu mereka.

Kerana tidak berpuas hati, kumpulan itu enggan menyerahkan memorandum mereka.

Arun, ketika ditemu bual, menegaskan bahawa mereka telah memaklumkan pejabat perhubungan awam AGC pada 11 Mac bahawa mereka akan menyerahkan memorandum kepada tiga pihak yang disebutkan di atas hari ini.

“Dan mengenai peruntukan memorandum ini, saya sudah maklumkan kepada pegawai perhubungan awam AGC bahawa saya mahu tiga pihak sahaja yang menerima memorandum ini kerana saya sudah menghantar kira-kira tujuh surat dan tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Jadi, adalah tidak munasabah untuk saya memberikan satu lagi memorandum hanya untuk pemfailan (mereka),” katanya.

Dia juga menolak tanggapan bahawa ia adalah prosedur operasi standard bagi pegawai perhubungan awam untuk menerima petisyen itu.

“Saya enggan (menerima penjelasan ini) kerana saya sudah menghantar tujuh surat. Dan saya tidak ada niat apa-apa untuk menambah satu lagi.

“Saya sangat pasti jika saya kembali ke pejabat (AGC) hari ini saya tidak akan menemui tujuh surat itu. Saya agak pasti. Jadi saya tidak mahu menambah tong sampah mereka atau mesin pencincang mereka atau apa-apa lagi," kata Arun.

Selepas itu, kumpulan Shanti dan Arun memulakan protes duduk di hadapan AGC kira-kira jam 2.15 petang.

Namun, selepas kira-kira setengah jam duduk, Shanti tidak dapat menahan emosinya lagi.

Dia berdiri dan berjalan ke lobi Jabatan Peguam Negara, sambil menangis untuk bertemu dengan pendakwa yang bertanggungjawab kes anaknya.

Dalam luahan emosinya, dia berkata: "Sudah 7 tahun".

Dia juga meluahkan perasaan hampir berputusa asa. Setelah dipujuk saudara-mara dan rakan-rakannya, dia duduk menenangkan dirinya.

Namun, Shanti dan kumpulannya terus menunggu dengan sabar. Bagaimanapun, sehingga jam 4 petang masih belum ada sesiapa daripada ketiga-tiga pihak yang ingin mereka temui datang menyambut mereka. Mereka kemudia beredar dengan perasaan kecewa.

Arun menyatakan bahawa mereka akan kembali ke AGC pada Jumaat depan (5 April) dan menganjurkan protes untuk menuntut akauntabiliti daripada AGC berhubung perkembangan kes itu.

“Jadi satu perkara yang jelas. Sekarang, protes akan diadakan di AGC, 11 pagi Jumaat pada 5 April.

“Dan mulai sekarang, 26 Mac hingga 5 April, tidak akan ada sebarang surat-menyurat antara ibu Nhaveen dan AGC.

“Sebab dia (AGC) perlu bayar. Maksud saya apa sahaja yang berlaku hari ini adalah satu penghinaan yang besar. Saya sangat tersinggung dengan kejadian hari ini," katanya.

Arun menegaskan bahawa terdapat dua perkara yang ingin diketahui oleh keluarga Nhaveen: Adakah notis rayuan telah disampaikan kepada tertuduh, dan adakah AGC bersedia untuk memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan waran tangkap bagi lima tertuduh.

Dia mendakwa dua daripada lima defendan kini tiada di Malaysia, yang mungkin menyebabkan pembatalan kes.

Arun turut menegaskan bahawa undang-undang tidak melarang AGC memaklumkan perkembangan kes kepada keluarga mangsa.