JKPK cadang hadkan tiga kementerian, agensi kendali TVET
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini dikendalikan oleh 12 kementerian dan agensi kerajaan dihadkan kepada tiga sahaja.
Pengerusinya, Saifuddin Abdullah berkata bagi tujuan tersebut JKPK akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi perbincangan lanjut.
“Pada hari ini kita ada lebih 1,300 institusi TVET di bawah 12 agensi. Kami di JKPK berfikir 12 agensi untuk menjaga TVET terlalu banyak dan ada isu-isunya termasuk tidak semua institusi itu menggunakan akreditasi yang ditentukan oleh Majlis TVET Kebangsaan.
“Kami secara umumnya mencadangkan kepada menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Zambry Abdul Kadir, tetapi (perkara ini) tidak boleh dijawab oleh menteri KPT sebab ia di bawah timbalan perdana menteri.
“Sebaik-baiknya TVET itu di bawah tidak lebih tiga agensi, satu daripadanya tentulah KPT dan satunya adalah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tetapi perkara ini memerlukan perbincangan lanjut dan kami akan usahakan pertemuan dengan timbalan perdana menteri supaya tidaklah 12 agensi yang menjaga TVET, ” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pertemuan dengan Ahmad Zahid perlu dibuat kerana timbalan perdana menteri itu yang akan mempengerusikan jawatankuasa berkaitan konsolidasi TVET.
Terdahulu, Saifuddin berkata JKPK telah mengadakan tujuh mesyuarat bersama kementerian, jabatan dan persatuan sepanjang penggal ini.
Antara jawatankuasa terbabit yang telah terlibat fungsi-fungsi dan tugas beberapa kementerian antaranya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Komunikasi Komuniti dan terbaru Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut Saifuddin, antara isu utama yang turut dibincangkan adalah sesi libat urus bagi isu pembayaran Perintah Gaji Minimum (PGM) dan pemberian kontrak kerajaan , garis panduan pembayaran elaun kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri dibawah KPM, KPT, KESUMA dan KBS, isu pemerdagangan manusia serta perkembangan teknologi digital.
“Secara keseluruhannya, jawatankuasa telah meneliti pembentangan oleh kementerian dan jabatan dan berdasarkan pembentangan tersebut jawatankuasa telah meminta kementerian mengemukakan maklumat tambahan .
“Jawatankuasa juga telah mengadakan sesi perbincangan bersama menteri KPT pada 18 Mac lalu yang tertumpu kepada lima perkara berkaitan pendidikan tinggi negara,” katanya.
Tambah Saifuddin, antaranya berkaitan reformasi pendidikan, konsolidasi TVET, pemberatan kokurikulum dalam pengiraan markah kemasukan ke IPTA, kebolehpasaran graduan dan pengkomersilan hasil penyelidikan dan pembangunan IPT.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai