Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Penduduk kampung yang diusir tolak tinggal di rumah sewa

Penduduk yang diusir dari Kampung Gersik, Labuan menolak usaha untuk mencarikan rumah baru bagi mereka kerana tidak mahu membayar sewa, kata Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.

Katanya, walaupun dia merasa simpati dengan nasib mereka dan telah campur tangan untuk menangguhkan pengusiran, penduduk tidak memberi respons terhadap perkara itu.

"Mereka diberi tempoh enam bulan pada bulan Mei dan apabila pengusiran bermula pada bulan November, saya minta agar ia dihentikan supaya kami dapat mencari penyelesaian yang lebih baik. Kami bersedia untuk membantu mereka.

"Pihak Korporasi Labuan menawarkan mereka untuk menyewa apartmen tetapi mereka menolak, mengatakan ia jauh dari tempat kerja mereka, dan mereka enggan untuk bayar sewa.

"Sebagai contoh, pangsapuri LDA di Sungai Berdaun sangat selesa. Korporasi Labuan membuat tawaran sejak Disember, tetapi mereka hanya tidak mahu menerimanya," kata Suhaili.

Penduduk kampung tersebut diusir pada awal bulan ini kerana membina rumah di atas tanah milik Majlis Agama Islam Sabah (Muis).

Pengerusi jawatankuasa tindakan kampung, Omar Abbang, melaporkan operasi pengusiran dilaksanakan pada 4-8 Mac dan mendakwa menyebabkan sehingga 3,000 orang kehilangan rumah dan tinggal dalam pondok sementara.

Suhaili berkata tidak banyak yang boleh dilakukan kerana penduduk kampung tersebut tidak memberikan kerjasama.

"Dari pandangan kami, mereka menumpang di atas tanah persendirian yang dimiliki oleh Muis. Muis beri mereka notis enam bulan, dan kemudian sambungan tiga bulan.

"Mereka tidak terima tawaran kami untuk tinggal menyewa. Kami tidak akan sediakan tanah bagi mereka untuk bina rumah tanpa bayaran sekali lagi," kata Suhaili.

Penduduk menduduki dua lot di Kampung Gersik, kawasan tanah seluas 14 hektar, dan Suhaili menolak dakwaan bahawa majoriti daripada mereka adalah warganegara Malaysia.

"Banyak daripada penduduk bukan warganegara Malaysia tetapi mereka yang masuk ke negara ini dengan pas lawatan sosial IMM13," katanya.

Pas IMM13 itu dikeluarkan untuk pelarian Filipina yang masuk Sabah tanpa dokumen perjalanan antarabangsa yang sah dari penghujung 1972 hingga 1984.

Suhaili berkata soal mereka akan dihantar pulang ke negara asal juga tidak timbul.

"Tidak ada negara yang akan terima mereka. Malah negara asal mereka juga tidak iktiraf mereka.

"Mereka harus menerima situasi ini, dan terima tawaran menyewa itu adalah penyelesaian yang betul," tambahnya.