Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Isu KK Mart: SKMM teliti unsur kempen penyebaran maklumat salah

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diarahkan untuk meneliti unsur-unsur penyebaran maklumat salah secara diselaraskan melalui siaran media sosial berkaitan isu KK Mart.

Fahmi semasa sidang media pasca kabinet di Angkasapuri, memetik laporan Malaysiakini semalam yang menyorot kemungkinan percubaan untuk mempromosikan "tingkah laku tidak sahih yang diselaraskan" (CIB).

“Berkait isu ini saya telah dapat beberapa maklumat. Satu berdasarkan laporan media Malaysiakini yang meneliti aspek kemungkinan berlaku coordinated inauthentic behaviour atau influenced operations (operasi mempengaruhi pendapat).

"Yang mana satu mesej diulang-ulang di platform sama oleh sejumlah akaun yang tidak dapat dikenal pasti. Sama ada dilakukan secara sengaja atau dengan motif tersendiri.

"Saya telah minta SKMM teliti laporan Malaysiakini yang cukup baik," katanya.

Hantaran pertama itu dipercayai dibuat oleh ahli perniagaan e-dagang Fikri Nasir pada 17 Mac - tiga hari selepas KK Mart memohon maaf kerana menjual stoking tertera kalimah Allah.

Hantaran itu telah dikongsi lebih daripada 14,000 kali dan mendapat lebih daripada 3,000 komen. Fikri yang halamannya terbuka kepada orang ramai mempunyai 2,700 pengikut di Facebook.

Mulai 18 Mac dan seterusnya, berpuluh-puluh siaran lain dengan perkataan yang sama telah dikongsi oleh pengguna Facebook sama ada pada akaun peribadi mereka atau dalam kumpulan awam dengan jangkauan luas seperti "Kaki Viral", yang mempunyai lebih daripada 542,000 ahli.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata dia juga mengarahkan SKMM untuk melihat kandungan yang ditandakan berkaitan di platform lain, termasuk 1,040 video TikTok dilaporkan kerana kemungkinan pelanggaran garis panduan komuniti atau undang-undang Internet Malaysia.

“Sejak isu stoking KK Mart bermula pada 13 Mac hingga hari ini, SKMM melaporkan bahawa TikTok telah mengenal pasti lebih 1,000 kandungan yang ditandakan.

"Ini agak membimbangkan," katanya.

Daripada jumlah kandungan yang ditandakan, Fahmi berkata kira-kira 15 peratus tidak diturunkan oleh TikTok, sambil menambah ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai pengaruh terhadap keputusan akhir platform itu.

“Saya dan SKMM akan terus memantau dan memastikan penggunaan media sosial selari dengan hak kebebasan bersuara tanpa melanggar mana-mana undang-undang,” katanya.

Mengenai perkara berkaitan, Fahmi berkata dia masih belum menerima maklumat berhubung laporan penyebaran maklumat peribadi dua individu yang didakwa membuat komen menghina dalam talian berhubung isu stoking tertera kalimah “Allah”.

Kedua-dua individu itu, seorang di Kuala Lumpur dan seorang di Kota Kinabalu, ditaha, didakwa, dipenjarakan dan didenda secara berasingan.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 kepada Chiok Wai Loong, 35 tahun.

Begitu juga di Kota Kinabalu, seorang mualaf dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 kerana menyiarkan komen Facebook yang menyinggung tentang Islam berhubung skandal stoking tertera kalimah Allah.