Kebebasan bersuara harus disertai hak akses maklumat - MP
Perjuangan kebebasan bersuara harus disertai dengan pembaharuan yang menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar dalam akses kepada maklumat, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
Oleh itu, Khoo, ahli kumpulan rentas parti parlimen mengenai integriti, tadbir urus dan antirasuah, berkata penggubalan Akta Kebebasan Maklumat telah dimasukkan sebagai pembaharuan keutamaan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
"Apabila kita memperjuangkan kebebasan bersuara, selain kita perlu benarkan semua ada hak bersuara, kita juga perlu beri ruang yang luas supaya mereka dapat maklumat yang mereka berhak untuk tahu, maklumat perincian, supaya mereka dapat bersuara dengan lebih sempurna,” katanya semasa sidang media di parlimen.
Khoo juga berkata ketelusan yang lebih besar dalam aliran maklumat kepada rakyat adalah hak asasi dalam demokrasi yang berfungsi.
"Jika terdapat ketidakseimbangan dalam aliran maklumat, akan menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam hubungan kuasa antara rakyat dan kerajaan.
"Ini turut mempengaruhi kemampuan rakyat kawal selia institusi kerajaan secara terbuka dan berkesan," katanya.
Secara keseluruhan, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, selaku pengerusi kumpulan itu, berkata sidang media hari ini diadakan untuk menyediakan perkembangan terkini mengenai lapan pembaharuan yang disyorkan, empat daripadanya telah dikenal pasti sebagai keutamaan segera.
Selain daripada Akta Kebebasan Maklumat, tiga bidang tumpuan lain termasuk pengasingan kuasa antara Jabatan Peguam Negara dan pejabat pendakwa raya; pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; dan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said dilaporkan berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-undang sedang dalam proses mengenal pasti parameter, cabaran dalam pelaksanaan dan perundangan yang boleh bercanggah dengan konsep kebebasan maklumat bagi memperkenalkan akta komprehensif yang sesuai di Malaysia.
Azalina juga pada masa itu berkata kerajaan telah bersetuju untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) bagi memastikan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan Akta 88 saling melengkapi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai