Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Saifuddin: Henti guna istilah ‘dinafikan hak kewarganegaraan’ 

PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggesa semua ahli parlimen untuk menghentikan penggunaan istilah “dinafikan hak untuk dapat kewarganegaraan” apabila membincangkan isu berkaitan anak-anak terbiar.

Bercakap di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sebaliknya perlu mengambil bahagian dalam perbahasan apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan dibentangkan.

“Marilah kita sama-sama mengambil tanggungjawab untuk memastikan hak kanak-kanak terjamin dan dijaga. 

“Hentikan istilah ‘dinafikan hak untuk dapat warganegara’. 

“Sekarang, kalau tak dapat (kewarganegaraan) melalui Seksyen 19B pun, kita proses bawah Perkara 15A (Perlembagaan Persekutuan). 

“Dia tetap akan dapat (kerakyatan), janji dia pohon dan permohonannya lengkap. Tidak ada ungkapan yang dinafikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Seksyen 19B menetapkan bahawa anak-anak terbiar dianggap dilahirkan oleh ibu bapa Malaysia pada masa kelahiran mereka jika identiti ibu bapa kandung mereka tidak dapat dikenal pasti. 

Sementara itu, Perkara 15A memberi kerajaan kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak sebagai warganegara. 

Saifuddin kemudian mengulangi bahawa anak-anak yang dilahirkan juga boleh diberikan hak kewarganegaraan selagi kelahiran mereka didaftarkan dengan lengkap selepas ditemui. 

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS – Batang Lupar) mengenai kebimbangan yang dibangkitkan NGO berhubung pindaan “regresif” kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan. 

Sementara itu, Saifuddin menjelaskan kerajaan sedang dalam proses mencari formula terbaik melalui perbincangan dengan semua ahli Parlimen bagi menyelesaikan isu berhubung pindaan itu sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat. 

Ini, katanya, termasuk sesi dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan dan ahli parlimen PN beberapa hari kebelakangan ini. 

Saifuddin mendedahkan bahawa kerajaan perlu berhati-hati antara dua pemisahan berhubung perkara ini. 

“Terdapat dua dikotomi dalam hal ini. Salah satunya ialah kami membuka kewarganegaraan - memberikan kewarganegaraan semata-mata berdasarkan kelahiran di sini, tidak kira di mana mereka (anak-anak) ditemui atau siapa ibu bapa mereka. 

“Ini berdasarkan kemanusiaan, bukan untuk menghukum kanak-kanak yang tidak bersalah. 

“Satu lagi ialah kita mempunyai undang-undang, perlembagaan dan peraturan di negara ini yang mesti dipatuhi. 

“Justeru, kerajaan cuba menyelaraskan, memperjelas dan mengimbangi kedua-dua perspektif ini,” tambahnya. 

Terdahulu Saifuddin berdepan dengan kritikan hebat berhubung pindaan kementerian mengenai kewarganegaraan, yang menurut pengkritik adalah regresif dan akan membawa kepada lebih banyak ketiadaan kerakyatan.

[Baca laporan penuh]