Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kabinet bincang tawaran anjur Sukan Komanwel esok

PARLIMEN | Tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026 akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri esok, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Katanya, tawaran itu perlu penelitian yang terperinci dan tidak boleh membuat keputusan dengan sambil lewa sahaja.

"Setakat ini pendirian kerajaan pusat belum diketahui. Jemaah menteri akan meneliti perkara ini dalam mesyuarat kabinet esok.

"Tetapi, saya boleh nyatakan pandangan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) setakat ini, apa yang pasti kementerian akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

"Tidak akan membazirkan sama sekali wang pembayar cukai jika ingin menganjurkannya, saya akan memastikan pendekatan konservatif setiap kali ia melibatkan duit rakyat," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Hannah (PH-Segambut) menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung tawaran CGF kepada Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 2026 susulan Australia (Victoria) menarik diri atas alasan peningkatan kos penganjuran.

Hannah memberitahu bahawa CGF turut menawarkan bantuan peruntukan (geran) RM603 juta, sekiranya Malaysia bersedia menganjurkan sukan ketiga terbesar di dunia yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.

"Jika kerajaan bersetuju untuk menganjurkan, maka KBS akan mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF.

"Jika mengambil kira wang cukai terpaksa digunakan mungkin pilihan terbaik yang akan diambil oleh kerajaan ialah untuk tidak menganjurkannya,.

"Tapi, yang ini kita perlu menunggu keputusan kabinet esok," katanya.

Malaysia merupakan negara Asia yang pertama menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998 dengan 70 negara mengambil bahagian.