Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Menteri perpaduan: Kajian semula hala tuju Mitra untuk lebih fokus

Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang berkata kajian yang dijalankan pada Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) adalah untuk menetapkan hala tuju Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) baru dengan rangka tindakan sedia ada, bukan menghasilkan rangka tindakan baru.

Dia membalas kritikan Parti Makkal Sakthi yang mendakwa keputusan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu sebagai langkah memperbodoh masyarakat India, selain membuang masa dan wang ringgit.

Katanya, inisiatif KPN menganjurkan bengkel dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak adalah bagi penambahbaikan pada PTMI atau blueprint Mitra untuk menghasilkan hala tuju yang lebih berfokus.

"Itu pendapat seseorang (kritikan). Tapi bagi saya sebagai menteri apabila Mitra diberi balik kepada kita, perlu ada hala tuju yang sepatutnya. Yang (hala tuju) dulu kita tak mahu lagi.

"Blueprint (rangka tindakan) itu kita tetap terima. Ini masalah masyarakat India yang dulu telah dikeluarkan dalam blueprint yang sangat umum.

"Mitra adalah agensi bukan untuk semua masalah kaum India sebab sepatutnya kementerian dan agensi lain banyak (juga) terlibat dalam (agenda) sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

"Mitra cuma satu agensi kecil untuk komuniti India dan kita berharap dapat menentukan hala tuju yang lebih fokus, itu yang kita nak," katanya ketika ditemuramah wartawan.

Presiden Parti Makkal Sakthi sebelum ini berkata 'The Indian Blue Print' yang diperkenalkan semasa pentadbiran Najib Razak sudah mempunyai semua data yang lengkap, justeru kajian semula hala tuju Mitra hanya membuang masa dan duit.

Katanya, kajian itu hanya melengahkan lagi dana Mitra untuk sampai ke tangan rakyat.

Presiden Parti Makkal Sakthi RS Thanenthiran

Pada 13 Mac lalu, Aaron memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia "tidak jelas" apabila Mitra dipindahkan ke bawah kementeriannya.

Berikutan itu, dia dikritik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India kerana didakwa gagal mengendalikan isu Mitra.

Pasukan Tindakan India Malaysia (MIA Force), Pasukan Petugas Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas), dan Revolusi India Masa Depan Dalam Pendidikan (Fire) turut menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri.

"Aaron tak minat ke? Kalau tak minat, dia kena letak jawatan," kata pengerusi kepada tiga NGO terbabit, Dayalan Sreebalan.

Aaron turut menafikan dakwaan bahawa firma Perunding PEMANDU menguruskan pengagihan bantuan kewangan Mitra.

Tegasnya, dia memberi jaminan akan memberikan perhatian khusus kepada pembangunan sosioekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat India di Malaysia.

Tambahnya, jawatankuasa yang dilantik sebelum ini dijenamakan semula kepada Jawatankuasa Petugas Khas MITRA (JKPK MITRA) dan dipengerusikan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Firma perunding PEMANDU pula dilantik KPN bertujuan untuk melaksanakan kaji selidik, bengkel, sesi libat urus, syndication session serta penyediaan laporan akhir bagi membantu KPN menetapkan hala tuju MITRA.

Terdahulu, Aaron merasmikan Bengkel Hala Tuju MITRA di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya hari ini.

Bengkel tiga hari itu disertai kira-kira 90 peserta wakil daripada agensi kerajaan, tokoh korporat, wakil swasta, pertubuhan agama, NGO dan persatuan belia.

Selain turut disertai pemimpin politik pada hari terakhir bengkel, satu sesi libat urus diadakan bersama semua Ahli Parlimen dan ADUN berbangsa India pada 27 Mac ini di Parlimen.

Dalam perkembangan lain, Aaron enggan memberikan sebarang komen mengenai isu penjualan stoking berjenama 'Allah' yang tular.

"Kami adalah (Kementerian) perpaduan, kami tak mahu perpecahan," katanya.