Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

'Kelantangan Akmal tak kembalikan sokongan Melayu pada Umno'

Kelantangan dan sikap agresif ditonjolkan Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh dalam mendepani isu-isu membabitkan sentimen serta naratif kaum dan agama dilihat tidak akan dapat mengembalikan sokongan pengundi kepada parti itu.

Beberapa penganalisis politik sependapat bahawa tindakan agresif ditampilkan ahli dewan undangan negeri (Adun) Merlimau itu tidak akan mengembalikan sokongan khususnya pengundi Melayu kepada Umno.

Pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali (gambar bawah) berkata dia melihat naratif dibawa Akmal itu terlalu jauh jurangnya dengan ketua pemuda Umno terdahulu seperti Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein atau Najib Razak.

“Ketua pemuda Umno ini seharusnya dilihat sebagai seorang yang berwibawa kerana ia satu jawatan yang penting. Kalau dulu dalam politik Malaysia ketua pemuda adalah jawatan yang begitu tinggi.

“Jadi apabila Akmal, dia sendiri memainkan isu-isu seperti ini nampak seperti dia hanya berlegar di sekitar politik akar umbi sahaja.

“Sepatutnya perkara seperti ini contohnya gesaannya supaya memboikot KK Mart itu sepatutnya dimainkan oleh exco pemuda sahaja atau ketua pemuda di peringkat negeri atau bahagian.

“Apabila ketua Pemuda Umno sendiri menjadi pemain utama dalam isu seperti ini ia sedikit meletakkan posisi ketua pemuda untuk tidak dihormati oleh masyarakat dan pemerhati politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Mazlan berkata demikian ketika ditanya sejauh mana pendekatan agresif Akmal itu boleh mengembalikan sokongan pengundi Melayu kepada Umno.

Menurut Mazlan lagi, pendekatan Akmal tidak akan membawanya ke mana-mana kerana dia sedang memainkan isu perkauman dan agama.

Ketika Umno berkuasa dahulu, kata Mazlan kepimpinan parti itu tidak terjerumus dengan isu agama malah berjaya menjaga hubungan utuh dengan parti bukan Melayu dalam BN.

“Malah kita tengok polisi-polisi zaman Mahathir Mohamad nampaknya mesra kepada bukan Melayu, zaman Pak Lah (Abdullah Badawi) dan Najib, dilihat lebih mesra.

“Saya tak nampak kenapa perlunya ketua pemuda Umno memainkan isu-isu sentimen kaum dan agama pula. Sedangkan Umno asasnya tidak begitu, cuma sekali sekala saja kadang-kadang Umno julang keris, itu pun retorik untuk Umno tarik sokongan Melayu.

“Sedangkan pemimpin-pemimpin lain dalam Umno yang matang dalam politik mereka tahu isu seperti ini tak boleh layan sangat.

“Umno akan hadapi masalah juga kepada sebab orang Melayu yang kuat berpegang kepada kemelayuan mereka tidak akan sokong Umno, mereka yang sangat berjiwa Melayu-Islam ini akan sokong PN. Dah dibuktikan dalam pilihan raya lepas.

“Sepatutnya Umno perlu konsisten pertahan hak Melayu tetapi bercakap isu Melayu-Islam dalam konteks perlembagaan bukan main sentimen yang tidak ada asas, ia akan merugikan Umno nanti,” kata Mazlan.

Untuk rekod Akmal kebelakangan ini dilihat begitu menonjol dalam memperjuangkan isu-isu yang berasaskan sentimen kaum dan agama.

Sebelum ini dia terlibat dalam perdebatan membabitkan isu sekolah vernakular dan kini Akmal bersikap keras dalam kontroversi stokin tertera tulisan "Allah" yang didapati dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Malah exco kerajaan negeri Melaka itu menggesa agar pengguna memboikot rangkaian kedai serbaneka berkenaan.

Sementara itu pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) Zaharul Abdullah (gambar bawah) berkata dia tidak melihat beberapa siri tindakan agresif oleh Akmal ini berupaya mengembalikan sokongan Melayu kepada Umno.

“Bahkan tindakan beliau ini meningkatkan lagi kepincangan dan perpecahan di pihak kerajaan sekaligus mengurangkan lagi sokongan umum kepada kerajaan.

“Pada saya, selagi Umno bersama dengan kerajaan Madani dan bekerjasama dengan DAP, selagi itulah sokongan Melayu kepada Umno akan berkurangan,” katanya.

Bagimanapun Zaharul berpendapat tindakan Akmal ini sesuai dengan statusnya sebagai ketua Pemuda Umno yang lantang memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam dan mencerminkan suara akar umbi Umno.

“Beberapa siri tindakan beliau ini menunjukkan keberanian dan konsistensinya dalam mengambil pendekatan yang berbeza dengan kepimpinan parti.

“Dia mewakili kelompok dalam parti dan kerajaan yang tidak selesa dengan trend dan perkembangan semasa.

Ambil sikap sederhana

“Sebaliknya saya melihat pemimpin Umno lain bersikap tenang dalam mendepani isu-isu ini kerana mereka ingin menjaga kesepaduan dalam gabungan kerajaan Madani dan sebahagian mereka juga terikat dengan kerajaan sebagai ahli kabinet.

“Justeru, pemimpin Umno lain lebih cenderung untuk menggunakan saluran rasmi yang ada dalam gabungan kerajaan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan perbezaan pandangan,” jelasnya.

Selain itu Mazlan berpandangan Akmal sewajarnya mengambil sikap sederhana dalam berdepan isu-isu sensitif.

“Perkara seperti ini wajar bagi orang seperti ketua Pemuda Umno melihat aspek-aspek yang lebih luas.

“Katakanlah nanti siasatan polis mendapati sekian-sekian keputusan, akhirnya nanti akan backfire kepada ketua Pemuda Umno sendiri susulan seruannya yang begitu luar biasa bagi saya,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi (gambar atas) pula berkata, Akmal perlu melihat pelbagai aspek sebelum membuat pendekatan sedemikian rupa.

Jelasnya, untuk melihat suara Akmal mewakili akar umbi Umno maka kenyataan media ketua pemuda parti itu perlu dilakukan bersama seluruh 191 bahagian Umno seluruh negara.

“Ia bagi menunjukkan ini bukannya suara seorang individu tetapi disokong oleh kepimpinan ketua pemuda Umno bahagian seluruh Malaysia.

“Saya kira pemimpin Umno senior lebih tenang kerana mereka melihat perkara itu boleh diselesaikan dan ini memerlukan kematangan berpolitik sebab isu sedemikian dalam suasana kepelbagaian kaum di Malaysia bukan tidak pernah berlaku, ia boleh ditangani dengan saluran-saluran lebih baik dan berkesan,” katanya kepada Malaysiakini.