Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pesawah muda Kelantan buntu diuji kemarau

Kemarau melanda di Kelantan mendukacitakan sekumpulan pesawah muda apabila sebahagian besar sawah padi yang diusahakan mereka berdepan kerosakan akibat ketiadaan air.

Lebih 30 pemuda dari Kampung Aur Duri, Pasir Mas menyuarakan kebimbangan memandangkan hasil padi setiap musim merupakan punca pendapatan utama mereka sebagai generasi baru dalam sektor pertanian itu.

Walaupun kedudukan petak sawah hanya sekitar satu kilometer dari Sungai Kelantan, mereka mendakwa pam disediakan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) gagal mengalirkan air seperti yang diharapkan.

Justeru, dakwa mereka sebahagian besar padi yang diusahakan bermula Disember lalu itu mulai rosak sejak dua minggu lalu manakala sebahagian lagi hanya mampu bertahan seminggu sahaja.

Tinjauan Malaysiakini mendapati tanah sawah di kawasan berkenaan kering dan merekah manakala tali air serta parit berhampiran yang menjadi punca saliran air juga kering kontang akibat kemarau.

Keadaan itu akan menyebabkan kerugian besar kepada pesawah yang sudah menghabiskan modal puluhan ribu ringgit termasuk berhutang dengan pihak bank untuk mengusahakan sawah padi berkenaan.

Pesawah Rasul Zulkifli, 26, berkata situasi yang berlaku sangat mengecewakannya kerana sudah tiga musim berturut-turut dia mengalami kerugian akibat masalah air.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata hampir keseluruhan dari enam hektar sawah diusahakannya kini rosak.

“Hanya sebahagian kecil sahaja masih selamat tetapi itupun hanya mampu bertahan dalam seminggu saja.

“Memang buntu, sepatutnya padi boleh dituai pada bulan depan, tapi nampaknya sekali lagi saya berdepan kerugian. Pada peringkat sekarang sepatutnya kami membaja, tetapi tak boleh sebab sawah kering.

“Jika keadaan ini berterusan dan tidak dapat diselamatkan segera, saya tak tahu macam mana nak bayar hutang bank. Beberapa ekor lembu peliharaan juga terpaksa saya jual untuk menampung perbelanjaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Secara keseluruhan terhadap sekitar 200 hektar sawah diusahakan di kampung itu membabitkan kira-kira 50 pesawah dan majoritinya merupakan golongan muda.

Bagi Mohd Arif Mat Ghani, 30, yang mengusahakan sawah seluas 28 hektar berkata, dia akan berdepan kerugian hampir RM80,000 sekiranya masalah air tidak dapat diselesaikan dengan kadar segera.

“Keadaan padi saya sudah tenat, sebahagian besar sudah bertukar kuning dan tidak boleh dibaja akibat tanah yang kering.

“Saya amat berharap pihak Kada mampu menyelesaikan masalah kami secepat mungkin bagi mengelak lebih ramai pesawah berdepan kerugian,” katanya yang bersawah sejak 15 tahun lalu.

Air sungai tak sampai ke sawah

Sementara itu seorang lagi pesawah mahu dikenali sebagai Yusof, 40, turut meluahkan rasa kesal kepada Kada yang didakwa gagal menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

“Sepatutnya Kada sentiasa bersedia dan sedar setiap tahun berlaku musim kemarau dan sudah ada langkah yang perlu diambil.

“Kita juga akui musim kemarau, tapi lokasi sawah kami begitu dekat dengan Sungai Kelantan dan air di sungai berkenaan masih banyak, kenapa tidak dapat salurkan air?

“Kami juga melihat ada pam di sungai berkenaan namun air tidak juga sampai ke sawah kami.

“Inilah masalah kami saban musim sejak beberapa tahun lalu.

“Sampai bila kami terpaksa berdepan kerugian,” katanya sambil menyifatkan keadaan itu akan melemahkan semangat pesawah muda khususnya mereka yang baru berkecimpung dalam penanaman padi.

Walaupun tanaman padi terjejas akibat cuaca panas namun Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim menjelaskan pengeluaran sayuran di negeri itu tidak terjejas.

"Setakat ini, kami tidak menerima apa-apa laporan berkaitan sama ada (sayur-sayuran) tidak boleh jual atau masalah pengeluaran berikutan cuaca panas.

"Sekiranya berlaku El Nino dan terjejas bekalan, Fama akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi menyelesaikan masalah bekalan kerana ia di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan," katanya seperti dipetik Bernama semalam.