Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Menteri agama fail penghakiman ingkar terhadap Papagomo

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan memfailkan permohonan mahkamah untuk penghakiman ingkar pembelaan (JID) terhadap penulis blog kontroversi Papagomo.

Ini berikutan defendan, yang nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, masih belum memfailkan sebarang kehadiran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan saman sivil difailkan pada 19 Okt tahun lepas.

Ketika dihubungi hari ini, peguam Na’im Akberdin Abdul Kader mengesahkan mereka akan memfailkan permohonan JID, yang boleh menyebabkan Azri diperintahkan membayar ganti rugi am, teladan, teruk dan punitif yang akan ditentukan oleh mahkamah sivil.

Peguam itu berkata pada mulanya mereka telah memfailkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap Azri, tetapi pesuruhjaya kehakiman Leong Wai Hong semasa prosiding mahkamah hari ini menasihatkan mereka untuk memfailkan permohonan untuk penghakiman atas keingkaran pembelaan.

Difahamkan, ini disebabkan oleh sifat pampasan yang diminta oleh Na’im melalui saman fitnah.

“Hakim meminta kami memfailkan semula sebagai penghakiman ingkar pembelaan,” kata peguam itu, sambil menambah bahawa pesuruhjaya kehakiman memberi masa kepada plaintif sehingga pengurusan kes seterusnya pada 27 Mac untuk memfailkan permohonan.

Azri tidak diwakili semasa prosiding dalam talian hari ini.

Di bawah undang-undang, defendan mempunyai 14 hari dari tarikh diserahkan salinan tindakan sivil untuk tampil ke mahkamah sivil.

Menurut salinan afidavit penyampaian Na’im, peguam plaintif telah menyampaikan saman fitnah terhadap Azri di dua alamat defendan yang diketahui serta e-mel antara 25 dan 26 Okt tahun lepas.

Semakan ke atas sistem pemfailan dalam talian badan kehakiman tidak menunjukkan sebarang memorandum kehadiran difailkan oleh Azri atau pasukan peguamnya terhadap tuntutan mahkamah Na'im.

Malaysiakini cuba menghubungi pasukan peguam Azri berhubung perkara itu.

Na’im, yang merupakan bekas ketua hakim syariah, menyaman Azri berhubung hantaran Facebook.

Plaintif mendakwa bahawa catatan defendan juga termasuk klip TikTok enam minit 41 saat yang menyentuh ahli parlimen DAP Howard Lee yang memetik ayat al-Quran.

Na’im mendakwa Azri dalam catatan Facebook yang disertakan video TikTok itu telah mengaitkan menteri itu dengan dakwaan seksual berkenaan.

Dalam menolak dakwaan itu sebagai tidak benar, plaintif berhujah bahawa hantaran itu antara lain membayangkan bahawa dia menunggang agama meski mempunyai dakwaan seksual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar

Na’im juga mendakwa hantaran itu menggambarkan dia bersekongkol dengan DAP untuk kepentingan peribadinya sambil mengenepikan kepentingan masyarakat Islam.

Menerusi tuntutan mahkamah itu, menteri berkenaan memohon mendapatkan pelbagai pelepasan, termasuk perintah mahkamah supaya penulis blog itu membuat permohonan maaf secara terbuka secara terbuka, memadam secara kekal siaran dalam talian, dan tidak mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Na’im juga menuntut ganti rugi am, teladan, teruk dan punitif yang tidak dinyatakan, faedah tahunan 5 peratus ke atas jumlah yang diberikan, kos, dan sebarang relif selanjutnya yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 12 Jan tahun lepas, polis telah melancarkan siasatan berhubung dakwaan seorang hakim kanan ketika itu dikatakan telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang sudah berkahwin pada 2020.

Hakim kanan itu kemudiannya membuat laporan polis balas terhadap penuduhnya, mendakwa dia dituduh secara palsu.

Na’im juga sebelum ini menyaman ahli majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam berhubung hantaran dalam talian mengenai dakwaan itu.

Lokman sejak itu memohon maaf secara terbuka di hadapan mahkamah sivil untuk menyelesaikan saman fitnah itu.