Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Persatuan farmasi gesa k'jaan lihat semula peruntukan GEG

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa kerajaan melihat semula peruntukan generasi penamat (GEG) untuk rokok dan vape, yang sebelum ini dibuang daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

Gesaan itu susulan pendedahan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni Khamis lalu bahawa peruntukan itu dibatalkan ekoran pengaruh lobi oleh wakil industri tembakau dan vape.

Presiden MPS Amrahi Buang menyuarakan kekecewaan mereka terhadap pengaruh pelobi terhadap proses tersebut, yang menurutnya telah menjejaskan usaha untuk menjaga kesihatan awam.

"MPS menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap inisiatif GEG, satu langkah kritikal ke arah Malaysia yang bebas rokok. Kami menggesa pembuat dasar, golongan profesional kesihatan dan masyarakat untuk bersatu melawan tekanan luar yang mengutamakan keuntungan berbanding kesihatan warga kita.

"Kami menggesa kerajaan melihat semula perbincangan berkaitan peruntukan GEG, dengan mengambil kira manfaat jangka panjang dasar seumpama itu kepada kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia.

"Penting untuk kita menggunakan pendekatan yang telus dan berasaskan bukti dalam perangkaan dasar, di mana kepentingan kesihatan awam dilindungi daripada manipulasi industri," katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata pihaknya juga mahu kerajaan menimbang semula keputusan untuk mengecualikan produk cecair atau gel nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952.

Menurut MPS, golongan profesional kesihatan telah membangkitkan kebimbangan terhadap keputusan itu, yang bagi mereka berisiko menjejaskan usaha untuk mengawal bahan yang memberi ancaman kesihatan yang serius.

"Memasukkan semula cecair nikotin dalam Senarai Racun selari dengan amalan terbaik dalam kesihatan awam dan menjamin kawalan menyeluruh terhadap bahan yang berbahaya," kata Amrahi.

Terdahulu, Lukanisman memberitahu Dewan Rakyat yang pelobi bertemu secara langsung dengan ahli parlimen sebelum perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023, mempengaruhi pandangan mereka terhadap langkah GEG yang bertujuan untuk mewujudkan generasi masa depan yang bebas rokok.

“Atas tekanan daripada industri – kami memerlukan sokongan daripada semua pihak.

"Jika kita lihat pengalaman kita semasa membentangkan GEG, konflik pandangan timbul disebabkan tekanan industri - (pemain) industri memasuki Parlimen dan mereka bertemu ahli parlimen yang mempengaruhi keputusan itu," katanya.