Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Saya percaya kerana Jho Low dari dulu lagi kaya - Jasmine Loo

Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan berkata dia tidak berasa curiga dengan penglibatan Jho Low dalam urusan dana 1MDB kerana ahli perniagaan dalam buruan itu sudah pun kaya ketika itu.

Saksi ke-50 pihak pendakwaan itu berkata demikian ketika ditanya kenapa dia tidak mempersoalkan berkaitan kemasukan wang AS$9 juta ke dalama dua akaun banknya di Switzerland antara 2012-13.

Loo, 50,  berkata demikian dalam perbicaraan eks rasuah melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.27 billion.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, Loo berkata wang dalam dua akaun itu telah disita oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat susulan tindakan mahkamah melalalui arahan persetujuan yang dipersetujuinya.

Loo: Saya tidak setuju, saya percaya ketika itu asli, saya percaya Jho Low ketika itu.

Shafee: Pelik, anak guam saya juga percaya begitu. Kamu kata Jho Low buat semua perkara itu tanpa (Loo) tahu dari mana duit itu datang?

Loo: Ketika itu dia sudah kaya dan ada berjuta-juta (ringgit). Saya tak rasa dia ambil duit 1MDB. Kemudian dia dakwa dia ada perniagaan dan dakwa menguruskan perniagaan untuk orang Arab dan lain-lain pihak.

Loo kembali ke Malaysia tahun lalu setelah berada di luar negara sejak awal 2018.

Dia juga sebelum ini memberi keterangan bahawa Jho Low mengancam akan menjadikan hidup seperti di neraka jika dia kembali ke Malaysia dari Thailand.

Kali terakhir jumpa Jho Low di China pada 2017

Sementara itu, Loo dalam keterangannya berkata dia kali terakhir bertemu Low di Shanghai, China pada tahun 2017.

Saksi pendakwaan itu berkata kali terakhir dia berhubung dengan Low adalah pada Mac tahun lalu, empat bulan sebelum dia kembali ke Malaysia.

Menurutnya Low berkomunikasi dengannya tahun lalu melalui dua aplikasi mesej pada telefon pintar, iaitu Wechat dan Wickr.

Berhubung pertemuan dengan Low di Shanghai pada awal 2017, saksi tersebut berkata dia datang untuk berjumpa dengannya bagi membincangkan tuntutan pelucutan hak milik terhadapnya oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang berkaitan dengan 1MDB pada masa itu.

Loo menjelaskan pihak berkuasa AS cuba merampas aset seperti hartanah di London yang berada di bawah kawalannya melalui beberapa syarikat, serta akaun bank.

Dia berkata terdapat juga tuntutan pelucutan hak oleh AS terhadapnya yang melibatkan lukisan Picasso.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada 1 April depan.

Najib didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.27 billion.

[Baca berita asal]