Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dakwa tak faham, Awang minta Tiong berhenti menggulung

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengarahkan Tiong King Sing menghentikan penggulungannya kerana didakwa butiran yang diberikan tidak dapat difahami.

Semasa bangkit dengan memetik peraturan mesyuarat, Awang Hashim (PN-Pendang) mendakwa penjelasan yang diberikan menteri pelancongan, seni dan budaya itu tidak jelas.

Bahkan, dakwa Awang secara sinis, Tiong sendiri mungkin tidak faham apa yang diperkatakannya di Dewan Rakyat.

"Isunya apa yang dibentangkan menteri? Kami tak faham, mungkin dia pun tak faham.

"Jadi saya minta menteri ini tak payah menggulunglah sebab kami tak faham.

"Lebih baik bagi (penggulungan) bertulis, minta pegawai tulis dengan bahasa yang semua (orang) faham," kata Awang yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia.

Bagaimanapun Ramli Mohd Nor yang bertindak sebagai timbalan speaker ketika itu berpendapat tidak perlu untuk Tiong menamatkan penggulungan.

"YB Pendang, saya faham... macam mana Pendang tak faham?" kata Ramli.

Pada masa sama Ramli juga meminta agar Tiong mengedarkan jawapannya dalam penggulungan tersebut kepada pihak pembangkang.

"Bolehkan?" tanya Ramli yang kemudian dipersetujui Tiong.

Dewan juga menjadi kecoh setelah dua ahli parlimen kerajaan bangkit dan menuduh Awang sebenarnya sengaja mahu membazirkan masa dengan membangkitkan isu berkenaan

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Chong Zhemin (PH-Kampar) berkata Awang juga tidak menjelaskan peraturan mesyuarat yang dibawanya semasa mencelah penggulungan Tiong.

Awang kemudian menjelaskan sesuatu ucapan yang tidak dapat difahami mungkin boleh dianggap mengelirukan dewan, serta difahami di luar konteks sebenar.