Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kelonggaran waktu kerja wanita: Inisiatif baik atau mundur?

Kajian pelonggaran waktu bekerja wanita berkeluarga dalam sektor awam disambut baik beberapa pihak manakala yang lain pula berpandangan ia memperkuat tanggapan streotaip bahawa 'kaum hawa akhirnya ke dapur juga'.

Ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dirangka akan meneliti keperluan memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita untuk bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat memberi perhatian lebih kepada keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim (gambar bawah) memberitahu Malaysiakini dia menyokong cadangan itu kerana bimbang nilai kekeluargaan terhakis dalam masyarakat.

“Jika perkara ini dilaksanakan, dan wanita mempunyai pilihan untuk mendapat kelonggaran waktu bekerja, ianya satu perkara yang baik.

“Bukan sahaja untuk wanita, tetapi untuk sesebuah keluarga. Mungkin kerajaan boleh mulakan dan akhirnya ianya boleh menjadi ikutan pada sektor-sektor pekerjaan lain,” kata wakil rakyat DAP itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Abdul Rahman Nordin (gambar bawah) pula berkata cadangan tersebut memberi kelebihan bagi mereka yang mempunyai bilangan keluarga yang besar.

Dia turut mengesyorkan pelaksanaan sistem pekerjaan hibrid.

“Ataupun (kerja) separuh di pejabat, separuh lagi work from home.

"Tapi bukan kepada semua, hanya wanita yang memerlukan sahaja,” katanya kepada Malaysiakini,

Perdana menteri ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 pada 8 Mac lalu menjelaskan kadar upah akan mengalami perbezaan berikutan pengurangan waktu bekerja yang diberikan kepada wanita yang memerlukannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Marina berkata pendekatan yang dicadang oleh kerajaan merupakan salah satu cara meningkatkan mutu kualiti kehidupan berkeluarga.

Adun Skudai juga meminta kerajaan mempertimbangkan kewujudan kemudahan skim kerja dari rumah untuk wanita yang bekerja.

“Mempertimbangkan gaji penuh di mana pekerja wanita diberi kelonggaran masa bekerja dalam masa yang sama menyelesaikan baki kerja dari rumah.

“Namun ianya mungkin terhad dalam lingkupan bidang pekerjaan tertentu,” katanya.

Menurut Marina, kerajaan boleh mempertimbangkan kelonggaran waktu kerja atau skim bekerja dari rumah mungkin dua hari ke pejabat dan tiga hari dari rumah.

Langkah mundur

Namun, pengerusi bersama gerakan politik wanita, Parliwomen, Aisyah Adly berpendapat cadangan perdana menteri itu suatu langkah mundur.

Katanya, cadangan itu memperkukuh stigma bahawa golongan wanita perlu berada di rumah untuk menjaga keluarga, bukannya bekerjasama dengan pasangan mereka.

“Tambahan pula, saya percaya bahawa menurunkan gaji wanita akan meningkatkan lagi jurang gaji jantina tanpa mengira pengurangan waktu bekerja,” jelasnya lagi.

Aisyah Adly

Aisyah berkata cadangan itu tersasar kerana ia menganggap seolah-olah harus ada pertukaran bagi wanita untuk sama ada bekerja dan membina kerjaya atau menjalankan tugas keibuan di rumah.

Menurutnya, cadangan itu juga memperkukuh tanggapan lapuk bahawa wanita tidak sepatutnya bekerja tetapi menguruskan rumah.

Walaupun syor tersebut hanya suatu pilihan dan memberikan lebih banyak fleksibiliti, namun kata Aisyah ia tidak menyelesaikan masalah utama berkaitan penjagaan kanak-kanak.

“Kita harus akui bahawa sektor penjagaan merupakan komponen penting dalam pertumbuhan negara dan pemaju ekonomi kita.

Jadual kerja fleksibel

“Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting untuk perbaharui secara sistematik, membangunkan, dan menyusun semula dasar-dasar, inisiatif, dan program asas semasa bagi menyatukan komponen ekonomi dan penjagaan sambil mengambil kira pelbagai kumpulan sasaran,” katanya lagi.

Aisyah juga berkata pelaksanaan jadual kerja yang fleksibel dan pilihan untuk bekerja dari rumah bagi setiap pekerja – terutamanya ibu bapa yang bekerja – juga merupakan suatu langkah yang baik.

Dia dalam pada masa sama menyeru beban penjagaan kanak-kanak dan kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh wanita dapat dikurangkan dan membolehkan mereka memilih antara menjadi suri rumah atau kerjaya.

“Penting bagi masyarakat untuk sedar bahawa wanita juga boleh menjadi pencari rezeki dalam dunia masa kini,” jelas Aisyah kepada Malaysiakini.