Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kes kedua SRC Najib: Pendakwaan kemuka 25 saksi

Pendakwa raya dalam perbicaraan kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd akan memanggil antara 20 hingga 25 saksi untuk memberi keterangan.

Kes ini adalah berbeza daripada kes rasuah SRC berjumlah RM42 juta terhadap Najib, yang dia telah disabitkan kesalahan dan kini menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa sebutan kes terhadap Najib.

"Secara keseluruhan, ia adalah antara 20 hingga 25 saksi," kata pendakwa raya kepada hakim perbicaraan, K Muniandy.

Ashrof berkata pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk menyediakan keterangan saksi disebabkan mereka hanya mampu menyediakan satu kenyataan saksi setakat ini.

Muniandy kemudian menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes, yang ditetapkan untuk perbicaraan penuh selama lima hari pada September.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Pada Jan lalu, mahkamah memberitahu Najib boleh memohon pembebasan penuh atau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) jika pendakwa raya pada September depan masih belum membuat keputusan berhubung representasi tertuduh untuk menggugurkan kes itu.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dakwaan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta, melalui tiga akaun banknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Dia berdepan denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes pengubahan wang haram SRC International berjumlah RM27 juta terhadap Najib telah ditangguhkan beberapa kali sejak 2019 berikutan pelbagai kes jenayah terhadap tertuduh.

[Baca berita penuh]