Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Saifuddin dakwa HRW gagal kemukakan bukti salah laku imigresen

PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata Human Rights Watch (HRW) gagal mengemukakan bukti mengenai penyeksaan tahanan di pusat tahanan imigresen.

NGO hak asasi manusia itu baru-baru ini bertemu dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi berhubung laporan dakwaan penderaan oleh anggota imigresen terhadap tahanan, kata Saifuddin.

“Jadi setakat ini, laporan (dakwaan) itu masih bersifat khabar angin, dia tidak mematuhi sebarang methodologi kajian atau laporan yang boleh kita guna pakai.

“Apa-apa pun saya masih lagi berikan benefit of the doubt (faedah kesangsian) barangkali ada benda yang kita terlepas pandang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail

Rabu lalu, HRW mengeluarkan laporan yang mendakwa seramai 1,467 kanak-kanak ditahan di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh Malaysia setakat September 2023.

Laporan itu antara lain menyatakan tahanan kanak-kanak sering berdepan penderaan sama seperti tahanan dewasa - termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

Laporan bertajuk “We Can’t See The Sun, Malaysia’s Arbitrary Detention of Migrants and Refugees” itu memperincikan bagaimana tahanan, termasuk kanak-kanak berdepan seksaan.

Daripada 23 pendatang dan pelarian yang ditemu bual HRW, 15 mendakwa mereka dipukul dan kesemua mereka menyaksikan rakan-rakan lain dipukul semasa dalam tahanan imigresen.

Setiap mereka yang ditemu duga mendakwa mereka berdepan beberapa bentuk hukuman semasa penahanan.

Sementara itu, Saifuddin berkata dia mahukan bukti konkrit kejadian seumpama itu di pusat tahanan supaya boleh menubuhkan jawatankuasa siasatan.

Malah dia juga akan mengadakan pertemuan susulan dengan HRW dalam masa terdekat.

Menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, yang menggesa pegawai imigresen menghormati hak asasi pendatang tanpa izin.

“Kemanusiaan itu penting, sebab kadangkala saya tengok operasi yang dibuat terutama sekali dengan liputan media dan sebagainya, nampak seperti mereka dilayan seperti bukan manusia.

“Walau pun pada masa yang sama kita perlu pastikan bahawa operasi itu dijalankan, kita tak nak ada pendatang tanpa izin, tapi pada masa yang sama, kemanusiaan itu tidak diwajarkan dilupakan,” kata Syahredzan.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin mendedahkan hanya kira-kira 20 peratus daripada mereka yang ditangkap dalam serbuan adalah pendatang tanpa izin.

Selebihnya, kira-kira 80 peratus mempunyai dokumen lengkap, katanya.