Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Lebih 31,000 rakyat Palestin terbunuh

Lebih 30,960 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza yang telah memasuki hari ke-156, kata pihak berkuasa kesihatan di wilayah terkepung itu.

Jumlah kecederaan pula mencecah 72,524 orang, lapor Agensi Berita Palestin (Wafa).

Angka kematian dijangka meningkat kerana ribuan penduduk dikhuatiri terbunuh di bawah runtuhan bangunan atau jasad mereka dibiarkan di jalan raya.

Tentera Israel juga menghalang akses bagi ambulans dan kru pertahanan awam.

Puluhan orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak meninggal dunia sejak beberapa jam lalu dalam siri pengeboman Israel dari udara, darat dan laut, merentasi Semenanjung Gaza yang terkepung.

Sumber tempatan melaporkan gangguan telekomunikasi semasa serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa rumah dan kawasan pasar di kem pelarian Nuseirat, di tengah Gaza.

Israel pada masa sama memperhebat serangan mereka di bandar Khan Younis, selatan Gaza dan kawasan lain, termasuk Al-Matahen, Al-Zawayda dan Juhor al-Dik, di tengah Semenanjung Gaza.

Sementara itu, pewarta WAFA melaporkan beberapa penduduk Palestin terbunuh apabila tentera rejim Israel melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam yang menunggu bantuan di bulatan Kuwait di utara Gaza.

- Bernama-Wafa