Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Kontroversi kenyataan Teo: Pemilik portal dipanggil polis

Pemilik portal Merdeka Times Firdaus Wong Wai Hung berkata dia akan disoal siasat oleh polis minggu depan berhubung video TikTok yang disiarkan oleh portal itu.

Ini berkaitan kenyataan ahli akademik Teo Kok Seong yang disifatkan sebagai ucapan kebencian berbaur perkauman.

"Saya dan The Merdeka Times akan mempertahankan kenyataan Prof Datuk Dr Teo yang merupakan fakta.

"Cina Muslim mempertahankan Cina Belum Muslim. Di mana rasisnya," katanya seperti dipetik portal itu.

Wong (gambar atas) turut melahirkan rasa kesal kerana majoriti ahli politik Melayu masih belum tampil mempertahankan Teo.

"Majoriti ahli politik Melayu masih belum bersuara mempertahankan kenyataan Prof Datuk Dr Teo dan ini sangat mengecewakan.

"Seorang ahli akademik berbangsa Cina belum Muslim mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara tetapi ahli politik Melayu Muslim takut mempertahankannya?

“Kerana apa? Kerana takut hilang undi? Takut hilang kerusi," soalnya.

Dakwa Melayu dipandang rendah

Dalam video TikTok hantaran Merdeka Times baru-baru ini, profesor itu mendakwa sekolah vernakular boleh menjadi tembok penghalang kepada perpaduan negara kerana pelajar Cina yang kurang cerdik hanya mampu menguasai bahasa Mandarin, yang membataskan perbualan dengan bangsa lain.

Teo berkata demikian ketika temuramah bersama portal The Merdeka Times.

“Wartawan soal 'mengapa masalah (perkauman) masih wujud hari ini?' jadi saya hanya menyatakan kebenarannya.

“Salah satu punca adalah orang Cina memandang rendah terhadap orang Melayu,” dakwanya.

Teo yang lahir di Kelantan dan berdarah Peranakan mendakwa malah komunitinya turut menerima tempias diskriminasi daripada majoriti kaum Cina yang tidak berasimilisasi dengan budaya tempatan.

Pada masa yang sama, dia berkata komuniti Cina “Peranakan” juga memandang rendah terhadap komuniti Siam tempatan tetapi dia kemudiannya menyedari bahawa minoriti etnik itu lebih baik kerana status bumiputera mereka.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam maklum balasnya pada 6 Mac menyifatkan dakwaan Teo bahawa sekolah Cina menyebarkan perkauman terhadap orang Melayu boleh menyebabkan perpecahan antara masyarakat.

Pemimpin DAP itu berkata kenyataan Teo itu menjejaskan prinsip perpaduan dan keterangkuman yang harus ditegakkan dalam masyarakat.

Teresa juga telah meminta polis menyiasat Teo untuk video TikTok yang mendakwa sekolah Cina menyebarkan perkauman terhadap orang Melayu.