Saksi: 'Cikgu ponteng' menangis mohon maaf
Guru yang berdepan saman atas dakwaan ponteng kelas pada 2015 menangis ketika memohon maaf beberapa tahun selepas kejadian itu.
Demikian kata saksi plaintif, Nurhaizah Ejab dalam perbicaraan kes saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, dua hari lalu.
Nurhaizah yang juga guru di SMK Taun Gusi juga berkata, Mohd Jainal Jamran juga enggan terlibat lagi dalam komplot memalsukan dokumen berkenaan kehadirannya di sekolah.
Kata Nurhaizah, yang merupakan salah seorang daripada dua guru yang melaporkan ketidakhadiran Jainal selama tujuh bulan pada 2015, Jainal memohon maaf kepadanya sebayak dua kali, iaitu pada 5 Nov 2018 di pejabat pengetua dan pada 7 Nov 2018 di bilik hal ehwal pelajar sekolah itu.
"Jainal menangis dalam bilik ini dan menyatakan kekesalannya atas perbuatan tidak masuk kelas dan kata dia mahu ikut plaintif (Siti Nafirah Siman).
"Dia akan jadi saksi pihak defendan yang membuat pemalsuan dokumen. Dia tidak mahu lagi terlibat dalam pemalsuan dokumen yang diarahkan oleh pihak defendan yang lain selepas saman ini difailkan," katanya ketika disoal peguam plaintif Shireen Sikayun.
Bercakap mengenai pertemuan di dalam pejabat pengetua, Nurhaizah berkata Jainal berkata dia tidak menyalahkan bekas pelajarnya kerana memfailkan saman berkenaan, sebaliknya bersyukur dengan tindakan itu yang dianggapnya sebagai hidayah atas ketidakhadirannya yang lama.
Tahun lepas, pegawai pendidikan Norhana Ijek memberitahu mahkamah yang Jainal gagal menghantar buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bermula Februari hingga Ogos 2015.
Kata Norhana lagi, setelah menerima buku itu, dia meletakkan tarikh lebih awal ketika menandatanganinya untuk mengesahkan Jainal menghantar buku tersebut pada setiap minggu sejak Februari hingga Ogos.
https://www.malaysiakini.com/news/675950
Dia berkata hanya sedar kesilapannya setelah Siti Nafirah memfailkan saman pada 2018 dan terus membuat laporan berkenaan apa yang berlaku kepada Jabatan Pendidikan Sabah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai mesyuarat Jabatan Pelajaran Sabah pada 2 Nov 2018, bagi membincangkan saman yang akan berlaku, Norhana memberitahu mahkamah bahawa dia tidak hadir pada mesyuarat itu tetapi telah mendapat rakaman daripada seorang guru yang menghadirinya.
Dia berkata rakaman itu membincangkan ketidakhadiran Jainal manakala timbalan pengarah pendidikan Sabah pada masa itu Mohd Kasim Ibrahim bercakap mengenai cara untuk memastikan kes itu tidak akan sampai ke mahkamah.
Perbicaraan di depan hakim Ismail Brahim disambung pada 22 April ini.
Siti Nafirah memfailkan saman terhadap Jainal, Pengetua SMK Taun Gusi Suid Hanapi, SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan dan kerajaan persekutuan.
Defendan diwakili peguam kanan persekutuan Jesseca Daimis dan peguam persekutuan Mohd Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai