Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pakar gesa pencarum Islam KWSP 'bersihkan' dividen, beralih ke syariah

Pakar kewangan Islam dan syariah, Dr Zaharuddin Abd Rahman berpesan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang belum beralih ke simpanan syariah agar berbuat demikian.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Zaharuddin berkata dana KWSP bagi simpanan konvensional dilaburkan secara bercampur, dengan 66 peratus pendapatan membabitkan RM50.7 bilion adalah daripada pelaburan tidak patuh syariah seperti perbankan nasional, insurans dan kadar faedah.

"Mandat KWSP konvensional bebas melabur di industri halal dan tidak halal asalkan boleh bawa keuntungan, mereka juga menggunakan instrumen tidak patuh syariah, ke dalam syarikat tidak patuh syariah.

"Atas sebab itu bagi mereka yang mementingkan halal dan keberkatan pada tahap maksimum, perlulah beralih ke akaun simpanan syariah atau lakukan pembersihan," katanya.

Dalam satu hantaran lain, Zaharuddin membangkitkan statistik KWSP sehingga 31 Disember tahun lalu, yang menunjukkan hanya 20.1 peratus pencarum beragama Islam memilih simpanan syariah.

"...Daripada jumlah pencarum muslim seramai 8,882,184 di KWSP, hanya 1,785,250 sahaja yang telah berpindah ke simpanan syariah, iaitu 20.1 % sahaja," katanya.

Pada 3 Mac lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen bagi 2023, iaitu 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata, jumlah agihan bagi simpanan konvensional melibatkan RM50.33 bilion, manakala bagi simpanan syariah, RM7.48 bilion.

Pengumuman itu menarik perhatian berikutan perbezaan hanya 0.1 peratus antara dua simpanan tersebut, yang jauh lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Zaharuddin juga menasihatkan pencarum beragama Islam yang memilih simpanan konvensional agar membuat pembersihan terhadap 66 peratus dividen yang diterima.

"Bagi mereka yang inginkan pendapatan halal lagi bersih, 66 peratus daripada jumlah dividen konvensional itu mesti dibersihkan.

"Ini menjadikan dividen patuh shariah untuk simpanan konvensional KWSP yang halal dinikmati hanyalah sebanyak 1.87 peratus.

"Jika dividen konvensional nilainya RM 10,000, maka RM6,600 perlu dibersihkan dan boleh guna wang sedia ada, bukan simpanan KWSP," katanya lagi, sambil mencadangkan wang itu boleh disalurkan kepada fakir miskin atau untuk keperluan awam.