Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Menteri minta HRW kongsi data tahanan imigresen diseksa, mati

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dia akan mengundang Human Rights Watch (HRW) dan meminta pertubuhan hak asasi antarabangsa itu berkongsi data berkenaan kes tahanan kanak-kanak diseksa di pusat tahanan imigresen.

Menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan HRW, Saifuddin berkata dakwaan itu sangat serius dan pihaknya akan meminta bukti yang ada pada HRW agar siasatan lanjut dapat dijalankan segera.

"Saya nak jemput HRW berjumpa saya, saya sendiri akan jemput mereka.

"...Saya pohon kepada mereka (HRW) kalau boleh nyatakan (soal) berkaitan dengan penderaan dan kematian. Siapa? Berapa bilangannya? Berlaku di mana? Oleh kerana ada kematian, sebutkan siapa (mangsa)?" katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin berkata pihaknya tidak akan berlengah dalam membuat siasatan dan akan mengundang pertubuhan-pertubuhan yang "berwibawa" untuk membantu siasatan itu.

Menurut laporan yang dikeluarkan HRW dua hari lalu, seramai 1,467 kanak-kanak ditahan di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh Malaysia setakat September 2023.

Laporan itu antara lain menyatakan tahanan kanak-kanak sering berdepan penderaan yang sama seperti tahanan dewasa - termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

Laporan itu juga mengandungi keterangan saksi mata yang memperincikan kejadian seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dipukul kerana meminta lebih banyak roti.

Mengulas lanjut, Saifuddin menafikan tahanan kanak-kanak berdepan seksaan dan berkata dia sendiri telah melawat ke pusat tahanan dan melihat kemudahan yang disediakan untuk mereka.

"Saya tak tahu sama ada HRW tahu bahawa di setiap depoh kita ada pegawai perubatan dan pemeriksaan kesihatan itu dibuat secara berkala.

"Saya melawat sebahagian besar daripada depoh imigresen dan tengok sendiri bagaimana proses itu dilakukan, ada penempatan pegawai, ada ration makanan," katanya lagi.

Katanya lagi, kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa ketika serbuan pihak berkuasa ditempatkan di Baitul Mahabbah, iaitu penempatan yang lebih sesuai berbanding pusat tahanan, untuk kanak-kanak bawah 10 tahun.

"Yang ini tentulah HRW pandang sepi, tak boleh melihat niat baik kami yang sangat berperikemanusiaan," katanya lagi.

Menurut laporan, setakat ini ada dua Baitul Mahabbah iaitu di Nilai, Negeri Sembilan dan Papar, Sabah, sementara dua lagi dijangka dibuka tahun depan, iaitu di Miri, Sarawak dan Tanah Merah, Kelantan.

Kata saifuddin lagi, Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Jabatan Imigresen telah memanggil HRW semalam berkaitan laporan tersebut.

"Prinsip kita adalah mempertahankan hak asasi setiap manusia yang bernyawa, ini pendirian kita.

"Saya akan tunggu mereka mengemukakan laporan berkenaan. Jika tidak ianya akan kekal sebagai laporan bersifat 'hearsay' (khabar angin).

"Tapi saya berikan 'benefit of the doubt' (bersangka baik) kepada mereka untuk berjumpa dan saya sedia mendengar. Bila saya dah kumpulkan semua bukti daripada mereka, saya akan mulakan siasatan," katanya lagi.