Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Ratu Naga raikan Hari Wanita dengan saman SPRM

Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga menyaman SPRM atas dakwaan badan antirasuah itu menafikan haknya untuk diwakili peguam sewaktu disoal-siasat.

Dia memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu.

Tindakannya terhadap SPRM dan dua lagi defendan itu berkaitan penangkapan oleh SPRM pada 16 Februari lalu. 

Dua lagi defendan dalam saman itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan kerajaan Malaysia.

SPRM menafikan Ratu Naga ditahan dan cuma dipanggil membantu siasatan. Kenyataan itu bagaimanapun dipertikai peguamnya Nabila Khairuddin.

Nabila berkata apa yang berlaku satu tangkapan kerana rumah anak guamnya digeledah dan dia dibawa ke Putrajaya menaiki kereta SPRM.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa aktitis Bersatu itu disiasat susulan dakwaan rasuah yang dibuat oleh seorang lagi aktivis parti itu Badrul Hisham Shaharin terhadap Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Badrul atau Chegubard menuduh Shamsul, setiausaha politik kanan perdana menteri, menyalahgunakan dana NGO. Shamsul menafikannya.

Sementara itu, Syarul Ema berkata tindakan itu diumumkan sempena hari wanita hari ini.

“Ok, hari ini hari wanita. 

“Saya raikan dengan mengumumkan bahawa saya sudah saman Ketua SPRM Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, dia mengambil tindakan itu untuk membela rakyat untuk mendapat representasi peguam dan menegakkan hak asasi bawah perlembagaan. 

“Ingat, yang saman bukan geng PH (Pakatan Harapan) yang dulu kuat kelentong pasal rule of law (kedaulatan undang-undang), tapi saya. 

“Saya bertindak pro bono publico, faham kan?” katanya.

[Baca berita asal]