Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

'RUU larang guna ganja untuk suka-suka tak jejas pelancongan Thai'

Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata pihaknya yakin kehadiran pelancong asing ke negara gajah putih itu bukan disebabkan halalnya penggunaan ganja rekreasi.

Namun jelasnya, sektor pelancongan di Thailand termasuk di wilayah selatan berlandaskan keindahan alam semula jadi, kebudayaan dan kesenian serta pelbagai keunikan masyarakatnya.

“Kerajaan Thailand membenarkan penanaman ganja untuk tujuan perubatan sebagai bekalan untuk dieksport dan dijadikan herba atau ubat-ubatan.

“Ia diberikan kebenaran penggunaan dengan bebas sebelum ini, tetapi selepas lebih setahun kajian semula dilakukan mendapati kebenaran tersebut menyebabkan kesan-kesan negatif.

Aida Oujeh

“Jadi kini kerajaan ke arah untuk mengharamkan semula penggunaan ganja rekreasi dan hanya untuk tujuan perubatan akan dibenarkan melalui peraturan serta lesen kepada pihak yang terlibat,” katanya kepada Malaysiakini kelmarin

Aida berkata demikian ketika ditemui di program Hari Media dan Pelancongan Malaysia - Thailand di Hat Yai, Songkhla.

Program selama dua hari itu dirasmikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail antara lain menyaksikan perjanjian persefahaman antara Persatuan Media Selatan Thailand dan Persatuan Media Perlis (MOU), bengkel peranan media dalam sektor pelancongan dan pemasaran produk pelancongan oleh pemain industri kedua-dua negara.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kerajaan Thailand akan segera membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk mengharamkan penggunaan rekreasi ganja, kata menteri kesihatannya Cholnan Srikaewpada.

Cholnan pada 29 Feb lalu berkata pengharaman penggunaan ganja bagi tujuan suka-suka bakal dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Namun jelas menteri kesihatan itu penggunaannya untuk tujuan perubatan terus dibenarkan.

Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan ganja perubatan pada tahun 2018 dan kemudian penggunaan rekreasi pada tahun 2022.

RUU itu menetapkan denda sehingga 60,000 baht untuk kegunaan rekreasi manakala mereka yang menjual ganja untuk kegunaan sedemikian dan mengambil bahagian dalam pengiklanan atau pemasaran tunas, damar, ekstrak atau peranti merokok berdepan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga 100,000 baht atau kedua-duanya.

Ia juga mengeraskan hukuman bagi penanaman ganja tanpa lesen, dengan hukuman penjara antara satu hingga tiga tahun dan denda daripada 20,000 baht hingga 300,000 baht.

Import, eksport, penanaman dan penggunaan ganja secara komersial juga akan memerlukan permit sekarang, kata menteri itu.

Kedai ganja yang beroperasi secara haram tidak akan dibenarkan untuk diteruskan manakala penanaman ganja di rumah juga tidak digalakkan, tambah Cholnan, yang meletakkan bilangan kedai berdaftar secara sah pada 20,000.

RUU itu akan dihantar ke kabinet untuk diluluskan bulan depan sebelum menuju ke parlimen untuk diluluskan sebelum akhir tahun, kata Cholnan lagi.

Dalam perkembagangan berkaitan, Aida berkata penggunaan ganja untuk rekreasi bukanlah menjadi keutamaan kehadiran pelancong ke Thailand.

Produk ganja perubatan

“Hanya sekumpulan yang sangat kecil sahaja di kalangan pelancong yang berminat terhadap ganja, mungkin hanya sekitar satu peratus.

“Jadi tidak akan ada kesan (terhadap pelancongan). Apabila ia diharamkan, ganja perubatan masih lagi menjadi salah satu produk,” katanya.

Dalam perkembangan sama Ketua Pelancongan Pusat Pentadbiran Sempadan Selatan (SBPAC) Aree Noochusuk (gambar bawah) turut berpendapat perkara itu tidak menjadi kebimbangan terhadap sektor pelancongan di Thailand.

Jelasnya, dengan hanya ganja perubatan dibenarkan Thailand akan menjadi sebuah destinasi pelancongan kesihatan.

“Kita yakin kedatangan pelancong bukan untuk berseronok melalui penggunaan ganja, tetapi untuk mengenali dan menikmati apa yang ada di sini.

“Jadi tiada sebab untuk kita jangka kehadiran pelancong akan merosot sebenarnya, penggunaan ganja ini cuma sampingan sebab ia dibenarkan,” katanya.

Bagi seorang peniaga ganja perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Natt, 30-an, dia mengusahakan ladang ganja dan produk kesihatan berasaskan ganja sejak setahun lalu.

Katanya, antara produk dihasilkan seperti minyak angin, minyak terapi dan minuman ringan.

“Buat masa ini saya juga menjual ganja rekreasi berbentuk rokok, selepas ini tidak akan dibenarkan lagi,” jelasnya.