Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pindaan perlembagaan: K'jaan digesa kemuka bukti, data - aktivis

Pada tahun 2009, Diyana (bukan nama sebenar) , 19, jatuh cinta dengan seorang anak muda bernama Abdul Razak (bukan nama sebenar). Kedua-duanya tinggal di Sabah dan tidak sabar untuk mendirikan rumah tangga.

Sikap terburu-buru ini mungkin membawa kesan buruk kepada anak-anaknya.

Petanda awal masalah ini datang daripada Jabatan Hal Ehawal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) yang tidak meluluskan permohonan pasangan ini untuk berkahwin, alasannya kerana dia dibuang semasa kecil dan tidak mempunyai ahli keluarga lelaki atau wali untuk menikahkannya.

Seorang lelaki tua mengambil Diyana dan adik perempuannya sebagai anak angkat dan membesarkan mereka. Lelaki itu meninggal dunia pada 2007.

Gambar hiasan.

Dalam Islam, saudara lelaki terdekat berhak dan menggalas tanggungjawab untuk mengatur pernikahan saudara perempuan mereka.

“Masa nak kahwin tu, tak ada wali jadi ada masalah sikit dengan Jabatan Agama Islam.

“Boleh guna hakim tapi prosedur susah sikit sebab masa tu memang tak ada wali untuk saya, jadi kami putuskan kahwin secara kampung, secara adat, ” Diyana, yang kini menetap di Klang, Selangor, memberitahu Bernama.

Pada dasarnya, perkahwinan Diyana dengan Abdul Razak, seorang warganegara Malaysia, tidak ada bezanya daripada perkahwinan pasangan lain. Mereka mempunyai semuanya kecuali dokumen yang mengandungi cap rasmi kerajaan negeri yang mengiktiraf perkahwinan mereka, lantas menjadikan perkahwinan mereka tidak sah.

Anak-anak yang dibuang

Semuanya bermula daripada kedudukan Diyana sebagai orang tanpa kerakyatan. Memandangkan dia bukan warganegara mana-mana negara, dia tidak dibenarkan berkahwin secara sah.

Wanita berketurunan Suluk ini dikhabarkan adalah antara ratusan ribu anak anak-anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain, di Sabah dan Sarawak.

Menurut laporan berita, peningkatan bilangan anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain adalah salah satu sebab mengapa kerajaan membuat cadangan untuk meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan, antara lainnya, menyekat kewarganegaraan berasaskan hak kelahiran untuk anak-anak tanpa kerakyatan yang dilahirkan di Malaysia.

Justifikasi lain ialah untuk mengekalkan keselamatan negara, meskipun tidak ada bukti yang dibentangkan untuk menyokong perkara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan sebelum ini, Kabinet akan membincangkan pindaan ini esok (8 Mac).

Salah satu pindaan perlembagaan yang dicadangkan ialah membenarkan ibu Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak kelahiran asing.

Dalam ketika aktivis mengalu-alukan perkara ini, mereka menolak cadangan lain - yang dianggap regresif - seperti menghapuskan kewarganegaraan automatik kepada anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain, anak-anak terbiar dan anak-anak pemastautin tetap, dan sebaliknya memerlukan mereka memohon kewarganegaraan.

Kerajaan Malaysia juga mencadangkan untuk menurunkan usia maksimum memohon kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Kumpulan hak asasi manusia dan cendekiawan menyatakan, pindaan yang ‘regresif’ itu akan hanya memburukkan lagi masalah orang tanpa kerakyatan di negara ini, dan bukan menghalang atau menyelesaikannya.

Para aktivis dan kumpulan hak asasi manusia memberitahu Bernama, mereka mendapat tahu bahawa pegawai kerajaan menyatakan cadangan pindaan itu diperlukan bagi menyekat warga asing daripada meninggalkan anak mereka di Malaysia. Keperluan pemohon memohon kewarganegaran secara teorinya akan menyingkirkan anak-anak tanpa kerakyatan warga asing, yang didakwa dengan sengaja meninggalkan anak mereka di Malaysia untuk mengambil kesempatan daripada perlindungan semasa di bawah Perlembagaan Malaysia.

Pakar undang-undang Dr Rodziana Mohamed Razali berpendapat, beliau tidak nampak bagaimana langkah menyekat hak kewarganegaraan untuk anak-anak itu dapat menghalang perkahwinan campur dan menyekat orang daripada mempunyai anak dilahirkan di luar nikah.

“(Seperti mereka akibat) perkahwinan tidak berdaftar kerana mereka tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka kerana ibu tidak mempunyai dokumen tidak mengikut peraturan, atau kewarganegaraan tidak dapat ditentukan, ” katanya.

Hakikatnya kes seperti Diyana.

Kesukarannya untuk mendapat wali bagi mewakili dirinya, hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang dihadapi oleh dirinya dan keluarganya. Ini kerana orang tanpa kerakyatan tidak dibenarkan berkahwin, keempat-empat orang anaknya - seorang lelaki dan tiga perempuan - semuanya orang tanpa kerakyatan kerana mereka dianggap anak di luar nikah.

Dalam kes seumpama itu, kewarganegaraan, tidak wujud atau sebaliknya, diwarisi daripada ibu mereka.

Bebaskan diri dari ‘sumpahan’

Anak-anak perempuan itu kemudiannya akan menurunkan taraf orang tanpa kerakyatan mereka kepada anak-anak mereka.

Menjadi orang tanpa kerakyatan bermakna mereka tidak boleh bekerja secara bermakna atau membuka akaun bank.

Mereka tidak dapat menikmati kemudahan perubatan percuma atau meneruskan pengajian di peringkat universiti. Terdapat juga risiko ditahan kerana mereka bukan warganegara. Mereka juga tidak mempunyai hak untuk melakukan perjalanan secara bebas.

Harapan mereka untuk membebaskan diri daripada ‘sumpahan’ ini adalah dengan mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Bagaimanapun, prosesnya adalah panjang dan sukar tanpa jaminan akan berjaya. Pada 1 Oktober 2023, Saifuddin Nasution memberitahu pemberita, kementeriannya meluluskan 19 permohonan kewarganegaraan daripada sebanyak 9,539 permohonan yang diproses pada penghujung September 2023.

Beberapa orang yang tanpa kerakyatan mencapai kejayaan dengan membawa kes mereka ke mahkamah untuk mendapatkan kewarganegaraan, meskipun prosesnya panjang dan menelan kos yang besar.

“Malahan ketika kita membincangkan perkara ini, tidak ada pengiktirafan automatik untuk anak warga asing yang ditinggalkan di negara ini,” kata Agalya J. Munusamy, peguam kewarganegaraan di MahWengKwai and Associates.

Tiada data tulen

Pakar dan penyokong hak kewarganegaraan berkata, sebelum sebarang pindaan diluluskan, perlu dibuat kajian tentang impak yang mungkin timbul serta implikasinya ke atas masyarakat, ekonomi dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak mempunyai data mengenai orang tanpa kerakyatan yang “tulen” di negara ini - yakni mereka yang tanpa kewarganegaraan atau terikat kepada negara lain, dan dilahir dan dibesarkan di Malaysia.

Sebaliknya, Jabatan Pendaftaran Negara mengumpulkan orang tanpa kerakyatan dengan pekerja asing, pelarian dan pendatang tanpa dokumen di bawah istilah mewakili semua bukan warganegara.

Sesetengah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mempunyai anggaran bilangan mereka. Persatuan Jaringan Pembangunan Sumber Manusia Luar Bandar (DHRRA), pertubuhan bukan bersifat keuntungan yang menyantuni orang tanpa kerakyatan, memberitahu Bernama, lebih 9,000 kes orang tanpa kerakyatan dari empat buah negeri di Semenanjung Malaysia, berdaftar dengan mereka, pada masa ini.

Gambar fail, program pendidikan anak-anak tanpa kerayatan oleh inisiatif Sekolah Bajau Laut Omadal.

Sabah sahaja mempunyai anggaran 300,000 orang tanpa kerakyatan, meskipun angka itu berdasarkan jumlah bukan warganegara di negeri itu, demikian menurut Maalini Ramalo, pengarah perlindungan sosial di DHRRA.

Orang tanpa kerakyatan tidak boleh dikelirukan dengan pelarian, pekerja asing atau pendatang tanpa dokumen.

Meskipun pelarian boleh juga menjadi orang tanpa kerakyatan, seperti Rohingya, perbezaan ketara ialah orang tanpa kerakyatan yang “tulen” di Malaysia tidak mempunyai negara asal selain daripada Malaysia, dan mereka juga keturunan daripada penduduk di Malaysia, dari sebelum Malaysia dibentuk, dan kebiasaannya ibu atau bapa adalah warganegara Malaysia.

Bekas Menteri Luar Malaysia dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar bawah) memberitahu Bernama, kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk meluluskan pindaan tanpa melakukan kajian terperinci mengenai impak dan implikasinya terlebih dahulu.

Menurut beliau, penting untuk membezakan antara pelbagai kumpulan bukan warganegara memandangkan orang tanpa kerakyatan yang “tulen” amat berbeza daripada bukan warganegara yang datang dari negara lain.

“Ramai (orang tanpa kerakyatan) dilahirkan di sini, tidak tahu tempat lain kecuali di sini, dan tinggal di negara ini dan tidak tahu bahasa lain.

“Mereka memperkenalkan diri mereka dengan negara ini. Perkara itu saya fikir perlu ditimbangkan secara berasingan, ” tambahnya.

Pada 28 Februari lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (gambar bawah), dalam jawapannya di Dewan Rakat kepada soalan mengenai impak orang tanpa kerakyatan ke atas ekonomi dan pembinaan negara, berkata, isu kebajikan perlu ditimbangkan bersama dengan hal keselamatan dan menambah, pekerja asing serta pendatang tanpa dokumen tidak berhak mendapat kewarganegaraan.

Beliau tidak memberikan sebarang data untuk menyokong hujahnya.

Pakar memberi amaran agar tidak menyerah kepada psikologi ketakutan.

Rodziana, yang juga pensyarah kanan di Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia memberitahu Bernama, sebarang hujah perlu disokong dengan data dan bukti.

Cerita rekaan kecuali ada data

Menurut beliau, setakat ini kerajaan tidak menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong hujah bahawa warga asing meninggalkan anak mereka secara beramai-ramai atau bagaimana anak orang tanpa kerakyatan mengancam keselamatan negara.

“Kemungkinannya fenomena perkahwinan campur antara orang tempatan dan warga asing serta hakikat warga asing mengambil kesempatan ke atas orang tempatan dengan mempunyai anak, dan menerusi cara itu membuka jalan untuk mereka terus tinggal di negara ini tetapi ia masih cerita rekaan kecuali kita diberikan data,” katanya.

Gambar fail, laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUhakam) mengenai orang tanpa kerakyatan di Semenanjung Malaysia.

Ironinya, mewujudkan kumpulan orang tanpa kerakyatan yang lebih besar, yang tidak boleh meninggalkan negara ini dan mempunyai sedikit pilihan, sebenarnya mungkin mencetuskam isu keselamatan pada masa jangka panjang. Orang tanpa kerakyatan adalah lebih mudah menjadi mangsa penganiayaan dan pemerdagangan manusia.

“Tidak sihat untuk kita mempunyai jumlah besar orang tanpa kerakyatan di bawah alasan melindungi sekuriti negara, kedaulatan dan/atau keselamatan,” kata Syed Hamid.

Beliau berkata, beliau memahami keperluan untuk menjamin sama ada orang yang memohon kewarganegaraan itu berhak untuk mendapatkannya dan bahawa warganegara baharu boleh menyumbang kepada negara.

Jejas imej di mata dunia

Syed Hamid dan Rodziana bersependapat bahawa meluluskan pindaan, terutama menghapuskan kewarganegaraan automatik daripada anak-anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain serta anak-anak yang terbiar, akan menjejaskan kedudukan Malaysia di mata dunia.

Menurut Rodziana, meluluskan pindaan berkenaan akan bercanggah dengan trend global melindungi komuniti yang berstatus ‘lemah’ seperti wanita dan kanak-kanak.

Gambar fail, program pendidikan untuk anak-anak tanpa kerakyatan.

“Saya fikir (kerajaan) tidak memperdulikan banyak norma antarabangsa yang kita meterai dan kita terikat dengannya. Umpamanya perlindungan untuk anak-anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain menerusi hak mereka untuk mendapat kewarganegaraan. Perkara ini dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, ” katanya.

“Sepatutnya kita bergerak ke hadapan untuk memperkukuhkannya, sebaliknya kita melakukan yang sebaliknya,” tambahnya.

Beban menjadi orang tanpa kerakyatan dan kemudiannya mewariskan keadaan ini kepada anak-anaknya amat menekan perasaan Diyana.

Tak dibenar belajar universiti

Menatap wajah anak perempuannya yang berusia 13 tahun, pelajar cemerlang di sekolahnya dan bercita-cita menjadi doktor apabila dia besar, membuatkan wanita ini bertambah sedih.

Diyana amat berat hati untuk memberitahu anak perempuannya itu hakikat yang dia mungkin tidak dapat memasuki sekolah perubatan, apatah lagi mana-mana unversiti selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia memberitahu Bernama, banyak kali dia mahu sahaja ‘menyerah kalah’ namun dia membulatkan tekad untuk meneruskan kehidupan dengan harapan anak-anaknya akan mempunyai masa depan yang lebih cerah dan akhirnya akan diiktiraf sebagai rakyat negara ini.

“Saya tak dapat (kerakyatan) tak mengapa, tapi anak-anak saya, perjalanan hidup mereka lebih panjang lagi, ” katanya.

- Bernama (Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff)