Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

MP Kepong gesa bahas Kod Etika Media di parlimen

PARLIMEN | Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyarankan pelaksanaan kod etika wartawan ditangguhkan.

Lim berkata ini bagi membolehkan kerajaan memberi penjelasan lanjut berhubung pelaksanaannya di Dewan Rakyat sekali gus memberi ruang kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk membahaskannya.

"Saya sedih, sebab ahli-ahli Parlimen tidak pernah diberi taklimat oleh kerajaan sebelum pelaksanaan kod etika media ini.

"Oleh itu, saya minta pelaksanaan kod etika media ini ditangguhkan dan saya juga minta kerajaan memberi penjelasan isu ini di Dewan Rakyat supaya perkara ini boleh dibahas oleh kerajaan dan juga pembangkang,” katanya dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.

Pada 20 Feb, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baru yang mengandungi lapan etika utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain ialah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Bagaimanapun ia mendapat bantahan kritikan termasuk daripada pengamal media yang memandang serius keputusan kerajaan untuk memperkenalkan kod etika wartawannya sendiri, yang turut memberi kuasa kepada Jabatan Penerangan untuk membatalkan kad media.

Mengulas lanjut, Lim berkata dia sendiri berasa kecewa dengan keputusan kerajaan itu dan kini berada dalam dilema sama ada mahu menyokong mahu pun mengkritik pelaksanaan kod etika terbabit.

“Saya sangat sedih dan kecewa serta terkejut dengan keputusan kerajaan semalam untuk melaksanakan kod etika untuk media.

“Saya nak tanya bagaimana ahli parlimen boleh menyokong kerajaan dalam isu ini apabila we were kept in the dark (kami tidak dimaklumkan) dengan izin. Saya juga berasa segan apabila ditanya oleh kawan-kawan daripada media. Apakah rasionalnya kod etika ini?

“Saya dalam dilema, saya tak tahu sama ada mahu menyokong atau mengkritik kerajaan dalam isu ini,” katanya.