Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Bapa penuntut maut terkena elektrik tuntut lebih RM3j dari UUM

Bapa kepada seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik memfailkan tuntutan saman ke atas universiti itu bagi mendapatkan ganti rugi lebih RM3 juta.

Berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah, R Sivakumar, 54, menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, pampasan kerugian teruk RM1 juta, ganti rugi - juga RM1 juta - serta ganti rugi khas bernilai RM50,000.

Sivakumar mendakwa UUM melanggar tanggungjawab institusi itu untuk memastikan keselamatan anaknya, S Vinosiny, daripada terkena renjatan elektrik semasa menggunakan bilik asrama.

Plaintif mendakwa UUM juga gagal menggantikan atau membaiki lampu elektrik atau peralatan lain yang rosak, atau mengambil sebarang langkah yang munasabah untuk menjadikan peralatan tersebut selamat.

Turut dihujahkan, UUM didakwa gagal memberi sebarang amaran yang mencukupi kepada Vinosiny mengenai risiko lampu dinding elektrik atau peralatan lain di dalam bilik asramanya.

Selain pampasan kewangan, plaintif juga menuntut faedah lima peratus dikenakan ke atas sebarang jumlah yang diberikan mahkamah kemudian dan ia bermula dari tarikh penghakiman hingga tarikh kes selesai, pada kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketika dihubungi, peguam keluarga terbabit, M Manoharan, mengesahkan pemfailan tindakan sivil berkenaan.

Vinosiny meninggal dunia di dalam asramanya di UUM pada Mei 2022 dipercayai kerana terkena renjatan elektrik.

Penuntut peruempuan itu berada di semester keempat dalam bidang pengajian perakaunan dan sistem maklumat. Dia kembali ke kampus seminggu sebelum tragedi itu.

Pada Feb tahun lalu, Mahkamah Koroner Alor Setar kemudian memutuskan bahawa Vinosiny memang menjadi mangsa renjatan elektrik sehingga membawa kepada kematiannya.