Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Polis akhirnya terima notis perarakan wanita WMMY

Pihak polis menerima notis perhimpunan Women's March Malaysia (WMMY) 2024 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, menurut penganjur.

Bagaimanapun, wakil penganjur berkata polis tidak menjelaskan mengapa pihak berkuasa itu enggan menerima penyerahan notis sebelum ini.

"Ia adalah dokumen yang sama yang kami cuba hantar melalui kurier pada hari Jumaat dan (dengan tangan pada) Sabtu dan ia diterima tanpa sebarang masalah hari ini," kata Deborah Augustin kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini.

"Jadi setakat yang kami tahu tidak ada sebab diberikan mengapa ia tidak diterima dan kami tidak diberikan sebab," tambahnya.

Dia ditemui selepas bertemu pihak polis dalam percubaan kelima mereka untuk mengemukakan notis seperti yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Augustin mengalu-alukan kerjasama daripada pihak polis hari ini, tetapi menegaskan kebebasan untuk berhimpun adalah hak dalam perlembagaan dan penganjur telah mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Akta itu digubal 12 tahun lalu, dan pada asalnya mewajibkan penganjur menyerahkan notis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan kepada polis.

Bagaimanapun, tempoh itu dipendekkan kepada lima hari selepas undang-undang itu dipinda pada 2019.

Pun begitu, polis menegaskan bahawa "permit" polis perlu dikeluarkan sebelum meluuskan sebarang perhimpunan.

Kebebasan untuk berhimpun termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Augustin berharap kerajaan memberikan sokongan dalam mengelakkan gangguan kepada pengajur dan peserta WMMY.

"Orang yang tidak sukakan kedamaian atau gangguan yang berlaku adalah daripada pihak lain yang mengganggu peserta perhimpunan, dalam bentuk gangguan nyata dan juga gangguan dalam talian yang melibatkan keganasan berasaskan jantina dalam talian.

"Beberapa perhimpunan yang lalu, kita selalu melihat terdapat keganasan berasaskan jantina dalam talian selepas atau semasa perhimpunan, jadi kita harap tahun ini jika perkara-perkara seperti ini berlaku, kita mahu melihat pendirian teguh daripada kerajaan untuk menyatakan bahawa jenis tingkah laku ini tidak dapat diterima," katanya.

Perarakan Wanita akan bermula di hadapan pusat beli belah Sogo di Kuala Lumpur pada 9 pagi, Sabtu ini.

Penganjur juga merancang untuk berarak ke Dataran Merdeka selepas itu.

Tuntutan perarakan tahun ini adalah seperti berikut:

1. Mengutamakan pemerkasaan ekonomi dan pembangunan golongan kelas pekerja berbanding syarikat

2. Mengisytiharkan krisis iklim dan melibatkan penyertaan daripada wanita dan orang asli

3. Menamatkan segala bentuk keganasan dan diskriminasi terhadap minoriti gender dan seksual

4. Melaksanakan pendidikan seks yang komprehensif untuk melindungi dan memperkasakan hak kanak-kanak

5. Melaksanakan perkhidmatan kesihatan reproduktif dan mental segera, inklusif dan boleh diakses dalam penjagaan kesihatan

6. Memastikan peluang dan penyertaan yang sama untuk semua pada semua peringkat membuat keputusan politik

7. Menghapuskan keganasan berasaskan jantina dalam kehidupan peribadi dan awam

8. Memastikan undang-undang kewarganegaraan yang saksama dari segi jantina

9. Melindungi kebebasan berhimpun dan bersuara

10. Menamatkan semua konflik bersenjata dan pembebasan untuk semua