Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

MP: Fokus pelaksanaan subsidi bersasar sebelum mansuh pencen

PARLIMEN | Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan pemansuhan skim pencen untuk penjawat awam, menurut Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo).

Willie berkata, masalah kewangan negara tidak akan selesai walaupun dengan perubahan dalam skim pencen, memandangkan kerajaan perlu membayar penjawat awam secukupnya untuk menghalang mereka ditarik sektor swasta atau bekerja di negara lain.

"Sebelum membuat membuat keputusan, kerajaan perlu menangani masalah ketirisan dalam negara dan melaksanakan subsidi bersasar dahulu.

"Ini kerana ia menjadi punca utama negara kita berdepan masalah kewangan.

"Bukannya (menangani masalah itu dengan) menarik skim pencen yang selama ini dinikmati penjawat awam," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Willie turut menggesa agar pemansuhan pencen dikecualikan terhadap penjawat awam dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

Kerajaan juga perlu berfikir di luar kotak dalam mencari punca pendapatan baru untuk negara, katanya lagi, sambil menjadikan langkah yang diambil Premier Sarawak Abang Johari Openg untuk meningkatkan hasil negeri sebagai contoh.

Pada Januari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan pengambilan penjawat awam tetap tanpa pencen sedang menunggu kelulusan jemaah menteri sebelum dibentang di Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang keputusan berkenaan perkara itu akan turut terpakai kepada ahli politik dan lantikan politik.

Namun, penjawat awam dan ahli politik sedia ada yang layak menerima pencen tidak akan terkesan.