Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

IJN discaj penjawat awam: Khairy setuju penjelasan KKM

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin setuju dengan penjelasan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung isu pesakit jantung dikeluarkan (discaj) dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dihantar untuk rawatan ke pusat jantung di hospital kerajaan.

Menerusi rakaman podcast Keluar Sekejap di Instagram, Khairy berkata pesakit yang berada dalam keadaan stabil akan didiscaj dari IJN untuk rawatan susulan di hospital kerajaan

"Apa yang KKM jelaskan ialah apabila mereka (pesakit) berada dalam keadaan stabil pesakit akan didiscaj untuk dihantar ke hospital kerajaan.

"Kita fahamlah mungkin kos rawatan di IJN agak tinggi, jadi apabila sudah stabil, doktor atau (pakar) kardiologi yakin pesakit itu boleh dirawat di hospital kerajaan lain.

"Maka mereka dihantar untuk diletakkan di bawah penjagaan hospital kerajaan. Saya rasa okaylah, jawapan itu betul," katanya.

Isu berkenaan berbangkit selepas laman kesihatan CodeBlue menerbitkan surat daripada seorang pesara yang tidak dinamakan yang mendakwa dikeluarkan dari IJN selepas menerima penjagaan rapi.

Penulis mendakwa dia diberitahu oleh doktor di situ yang mereka mengikut arahan Kementerian Kesihatan supaya penjawat awam dan pesara dibenarkan keluar ke pusat jantung kerajaan.

Susulan itu Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan IJN telah mendiscaj keluar semua penjawat awam dan pesara sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kos.

Menurutnya, bagi memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke lJN, pesakit dibenarkan discaj setelah keadaan mereka stabil ke pusat jantung KKM yang lain.

“Kami mempunyai 10 hospital yang mempunyai perkhidmatan kardiologi dan tujuh termasuk mempunyai perkhidmatan surgeri kardiotorasik. KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit yang dirujuk ke lJN menggunakan pembiayaan tahunan persekutuan yang diterima daripada MOF (Kementerian Kewangan)," katanya.

Tambah baik pusat jantung di hospital kerajaan

Sementara itu, Khairy juga membangkitkan pusat jantung di Hospital Serdang yang menurutnya menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan IJN.

Katanya lagi, semasa dia menjadi menteri kesihatan, makmal kateterisasi di Hospital Serdang ditambah bagi meningkatkan mutu perkhidmatannya.

"Kita harap dengan pelancaran dan juga selepas ini dari segi kakitangan dan kepakaran di Hospital Serdang itu, diharap kebergantungan KKM kepada IJN dapat dikurangkan kerana lebih ramai lagi boleh dirawat di pusat jantung di serdang," katanya.

Pada masa sama, dia menyuarakan harapan agar usaha penambahbaikan pusat jantung di Hospital Serdang dan hospital-hospital kerajaan lain dapat disegerakan.

"Sebab perbandingan (antara IJN dan hospital kerajaan) akan dibuat. Kita tengok ada komen yang menyatakan pesakit sudah stabil dan ahli keluarga sudah didiscaj dari IJN dan dihantar semula ke hospital kerajaan - tetapi tahap perkhidmatannya berbeza," katanya lagi.