Mat Sabu kutuk negara Islam tingkat dagangan dengan Israel
Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini mengecam anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meningkatkan perdagangan dengan Israel berikutan peristiwa 7 Okt tahun lepas.
Beliau juga memuji negara bukan Islam seperti Brazil, Afrika Selatan dan China yang telah mengkritik Israel.
"Malangnya, negara-negara OIC sejak perang 7 Oktober mereka tingkat perdagangan dengan Israel.
"Ada negara Islam yang duduk dalam Nato meningkatkan perdagangan dengan Israel," katanya ketika berpidato di Padang Merbok pada "Perhimpunan Mega untuk Palestin" petang tadi.
Perhimpunan hari ini menyaksikan ratusan rakyat Malaysia berarak sebagai tanda setiakawan dengan rakyat Palestin dan menyeru pencerobohan Israel segera dihentikan.
Sementara itu, Mohamad berkata orang Yahudi di Amerika Syarikat dan Britain turut membantah pencerobohan Israel.
"Di kalangan orang-orang Yahudi sendiri yang berada di Amerika Syarikat, yang berada di Britain keluar tunjuk perasaan.
"Mereka malu kerana kezaliman itu tidak ada dalam kitab Torah, tak ada dalam kitab Injil, tak ada dalam Bible yang izinkan kezaliman,” katanya.
Selain itu, ahli jawatankuasa pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC) Dr Fauziah Mohd Hasan berkata gabungan tersebut telah membeli beberapa kapal kargo dan tidak lama lagi akan belayar untuk menghulurkan bantuan susulan kepungan Israel di Gaza.
"FFC telah membeli sebuah kapal kargo dan sekarang akan membeli beberapa kapal lagi Insya-Allah dan apabila semua technicalities dan juga segala clearance dapat, Insya-Allah, kami akan berlayar secepat mungkin.
"Kita tak boleh lambat kerana apa? Kita takut tidak ada Gaza lagi untuk kita sokong jika tangguhkan bantuan ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj menggesa Malaysia menggantung hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) sehingga kuasa dunia itu berhenti mempersenjatai Israel.
"Jika katakan kerajaan kita dan beberapa kerajaan lain boleh tangguhkan, suspend hubungan diplomatik dengan America, jika dia terus hantar senjata kepada Israel, kita akan panggil balik kita punya duta," katanya.
Jeyakumar menjelaskan Israel akan meneruskan kezalimannya ke atas Palestin selagi AS menyokongnya.
Himpunan pada hari ini bermula pada pukul 2 petang di hadapan Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan peserta berarak dari sana ke Padang Merbok serta berhenti di kedutaan AS ketika dalam perjalanan.
Perhimpunan diteruskan dengan ucapan ringkas beberapa peserta perhimpunan dalam hujan renyai sehingga acara tamat selepas jam 6 petang.
Penganjur memberitahu Malaysiakini sekitar 5,000 hingga 6,000 peserta menyertai himpunan hari ini manakala kira-kira 2,000 orang yang berhimpun di Padang Merbok.
Malaysiakini menganggarkan terdapat kira-kira 1,000 peserta secara keseluruhan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai