MP Bangladesh: Akta baru dirangka pantau sub-ejen pekerja asing
Pada masa ini, lebih 1,000 warga Bangladesh ditahan di Malaysia kerana berada di sini tanpa dokumen.
Ini barangkali antara sebab kenapa kerajaan Bangladesh tidak merekodkan kiriman wang masuk pada kadar yang sejajar, walaupun terdapat kemasukan begitu ramai warganya ke Malaysia tahun lalu.
"Amat penting untuk kerajaan Bangladesh mendepani isu berkenaan pengambilan kerja di luar negara secara cekap," kata pengerusi Kaukus Parlimen Migrasi dan Pembangunan negara itu, tanvir Shakil Joy.
Sumber utama pendapatan mata wang asing bagi Bangladesh adalah para pekerjanya di luar negara yang mengirim semula wang ke negara itu. Malaysia adalah destinasi kedua terbesar untuk pekerja Bangladesh, dengan 351,000 orang masuk pada tahun lalu.
Namun begitu, kemasukan wang tahunan kurang daripada RM104.28 bilion (USD22 bilion) sejak dua tahun lalu.
Namun, pada tahun lalu, reputasi Malaysia juga tercemar dengan pekerja terperangkap dalam penipuan pekerjaan.
Pada tahun lalu, ratusan mangsa pemerdagangan manusia warga Bangladesh diselamatkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Mereka tersadai dan mungkin menjadi mangsa jaringan pemerdagangan manusia rentas sempadan di rantau ini.
Di Bangladesh, lapisan-lapisan sub-ejen, daripada pedalaman hingga ke bandar, terlibat dengan bayaran pengambilan yang sangat tinggi, yang menyebabkan pekerja terperangkap dalam amalan buruh paksa atau terpedaya dengan sindiket penipuan.
Tanvir daripada Parti Liga Awami yang mentadbir Bangladesh dan dia mewakili 395,000 penduduk di Sirajganj-1 di utara Bangladesh. Dia telah menerima banyak aduan berkenaan salah laku terhadap pekerja, bayaran pengambilan yang tinggi, penipuan pekerjaan dan pelanggaran hak buruh.
Isu-isu ini seringkali mendorong pekerja asing sama ada untuk menjadi warga asing tanpa izin atau terpaksa lari daripada persekitaran kerja yang teruk.
Kerajaan Bangladesh memilih penyelesaian yang luar daripada kebiasaan untuk menanganinya.
Undang-undang untuk sub-ejen
Negara itu akan merangka undang-undang untuk menjadikan sub-ejen dalam sektor pengambilan pekerjaan luar negara, sah di sisi undang-undang pada akhir tahun ini.
"Sub-ejen, yang sebelum ini bergerak secara tidak formal, tidak akan dapat lagi mengelak pemantauan undang-undang sebaik saja undang-undang ini diwartakan.
"Kami ingin menangani isu utama yang memberi masalah dalam industri pekerjaan luar negara pada masa ini: penipuan dan bayaran pengambilan yang tinggi," katanya kepada Malaysiakini.
Sub-ejen, yang dikenali sebagai 'dalal', bergerak secara bebas dan mendapat komisen berdasarkan bayaran yang dikutip. Maka, jumlah sub-ejen yang besar menyebabkan pemantauan pihak berkuasa menjadi sukar.
"Mereka akan diperlukan untuk bersama dengan mana-mana 700 agensi pekerjaan yang sah, hadkan operasi kepada satu kawasan saja dan mendaftar untuk kad pengenalan yang akan membolehkan pemantauan.
"Agensi pekerjaan akan bertanggungjawab terhadap tindakan sub-ejen di bawah mereka dan boleh didenda atau malah dipenjara untuk tempoh singkat.
"Identiti sub-ejen dan nombor pengenalan mereka akan disiarkan di dalam talian agar pekerja dapat mengenal pasti kesahan mereka tanpa perlu keluar dari kampung masing-masing," katanya.
Tanvir berkata usaha awal kerajaan untuk membasmi sub-ejen menerusi denda yang ketat dan amaran komuniti tidak membuahkan hasil.
Hakikatnya, sub-ejen sudah bersebati dalam sistem pengambilan pekerja memandangkan mereka mendapat kepercayaan masyarakat menerusi hubungan peribadi, seperti hubungan kekeluargaan.
"Mereka fikir 'dia saudara saya, dia jiran saya, jadi saya boleh percaya dia'," kata Tanvir lagi.
Undang-undang baru di peringkat akhir
Kira-kira lima tahun lalu, kaukus parlimen dan pertubuhan masyarakat sivil (CS) Bangladesh yang menyiasat perkara itu mencadangkan agar sub-ejen dimasukkan dalam rangka kerja untuk mengabsahkan dan menyelia operasi mereka.
Mengakui kerumitan proses itu, Tanvir berkata yang "Ia masa yang panjang, mengambil kira kebaikan dan keburukan yang ada. Ia bukan tugas yang mudah."
Pada tahun lalu, kerajaan Bangladesh mewartakan pindaan dalam Akta Migran dan Pekerjaan Luar Negara 2023, mengakui keperluan untuk mewujudkan pengawalan yang menyeluruh terhadap sub-ejen dalam sektor pengambilan pekerjaan luar negara.
Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing
Syarikat cengkerang, VIP 'perisai' dalang penipuan kuota pekerja asing
Kementerian Undang-undang, Keadilan dan Hal Ehwal Parlimen dan Kementerian Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat sedang memuktamadkan undnag-undang baru yang akan dibentang di parlimen tahun ini.
Ia akan menggariskan tanggungjawab, tugas dan kod pengendalian untuk sub-ejen.
Matlamatnya adalah untuk memastikan kebertanggungjawaban dan pengendalian saksama dalam proses pengambilan, yang akan menjaga hak dan kepentingan pekerja, majikan dan agensi pekerjaan.
Sebab bayaran pengambilan tinggi
Bekerja di Malaysia adalah perjalanan yang mencabar buat kebanyakan pencari kerja warga Bangladesh, dengan bayaran pengambilan yang tinggi menjadi permulannya.
Namun ia membuka jalan untuk masa depan yang lebih baik kepada mereka dan keluarga.
Menurut Tanvir, pulang ke kampung halaman sebelum sekurang-kurangnya lima tahun di Malaysia bukanlah satu pilihan untuk mereka, walaupun sekiranya kontrak asal pekerja adalah setahun.
"Kebanyakan warga Bangladesh tidak mahu menetap di sini tetapi mahu bekerja selama 10 hingga 15 tahun, raih wang yang banyak, bina rumah di kampung halaman, dan menyimpan untuk pendidikan anak atau berniaga kecil-kecilan.
Itu satu-satunya aspirasi mereka dan apabila seseorang itu ke luar negara, keluarga besar mereka akan bergantung kepada mereka.
"Mereka ambil risiko dengan gadaikan tanah, jual ternakan dan buat pinjaman dengan faedah yang tinggi kerana mereka yakin dapat meraihnya semula dan lebihan wang yang cukup untuk masa depan yang lebih baik," kata Tanvir lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai