PANDUANKINI : Cukai perkhidmatan baru dikutip mulai hari ini
PANDUANKINI | Sebagaimana pengumuman Belanjawan 2024 tahun lepas, kadar cukai perkhidmatan bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus mulai hari ini.
Di samping itu, beberapa barangan dan perkhidmatan yang sebelum ini tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan juga kini dikenakan cukai.
Terdapat juga pengecualian kepada kenaikan untuk membantu mengurangkan kesan skim cukai yang disemak ke atas golongan yang paling rentan.
Panduankini menyorot perkara yang berubah, barangan dan perkhidmatan yang kekal dicukai serta mengapa perubahan ini dibuat.
Apakah cukai perkhidmatan?
Cukai perkhidmatan merupakan cukai yang dikutip bagi pihak kerajaan oleh perniagaan untuk pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditetapkan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, terutamanya (tetapi tidak terhad kepada) yang disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 dan pindaan seterusnya terhadap peraturan tersebut.
Ia tidak boleh dikelirukan dengan "caj perkhidmatan" yang dikenakan oleh sesetengah perniagaan - terutamanya restoran - yang tiada kaitan hasilnya dengan kerajaan.
Jabatan Kastam Diraja bertanggungjawab untuk menguatkuasakan cukai perkhidmatan, termasuk mendaftar perniagaan yang diperlukan untuk mengenakan cukai perkhidmatan.
Sebelum perubahan hari ini, kadar cukai perkhidmatan ialah enam peratus kecuali yuran kad kredit. Yang terakhir ialah kadar tetap RM25 bagi setiap kad setahun.
Apa yang berubah?
Secara umum, apa-apa sahaja yang telah dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus akan dinaikkan kepada lapan peratus - dengan beberapa pengecualian.
Ini termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh hotel, kelab malam, rumah urut, kelab persendirian, padang golf, kasino, kurier, perkhidmatan digital seperti langganan perisian dan penstriman media serta penggunaan elektrik domestik kecuali untuk 600kWj pertama sebulan.
Bagaimanapun, terdapat pengecualian kadar cukai enam peratus lama yang meliputi restoran, bar, kedai kopi dan perkhidmatan makanan dan minuman lain, perkhidmatan telekomunikasi dan tempat letak kereta.
Sementara itu, perniagaan tertentu yang sebelum ini tidak mengutip cukai perkhidmatan kini dikehendaki berbuat demikian, iaitu pusat karaoke, perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan pembetulan (selain daripada pembaikan bangunan kediaman) dan perkhidmatan pembrokeran dan pengunderaitan (selain daripada insurans perubatan atau hayat atau takaful). Kadar cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan ini ialah lapan peratus.
Di samping itu, cukai perkhidmatan enam peratus dikenakan ke atas perkhidmatan logistik dengan beberapa pengecualian.
Pengamal perubatan tradisional dan komplementari (TCM) pada asalnya dikehendaki mengutip cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, tetapi selepas beberapa kali melobi, mereka tidak lagi perlu mengenakan cukai itu sama sekali mulai hari ini.
Ini meliputi pengamal perkhidmatan berikut yang berdaftar di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016: Perubatan Tradisional Melayu, Perubatan Tradisional Cina, Perubatan Tradisional India, Homeopati, Kiropraktik, Osteopati, dan Amalan Perubatan Islam.
Tiada perubahan kepada cukai perkhidmatan untuk yuran kad kredit.
Kenapa berubah?
Skim cukai perkhidmatan yang baru disemak merupakan sebahagian langkah yang lebih besar oleh kerajaan untuk meluaskan asas cukainya (yang memastikan sumber hasil kerajaan yang stabil) sambil merasionalkan program subsidinya dengan memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan akan menerimanya.
Menurut senarai soalan lazim yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, pembaharuan cukai adalah perlu untuk meningkatkan perkhidmatan dan kebajikan kepada rakyat.
“Perubahan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas atau sebahagian daripada gaya hidup masyarakat di negara ini.
“Sebagai contoh, perkhidmatan yang kerap digunakan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, dan tempat letak kenderaan dikekalkan kadar cukai perkhidmatan enam peratus.
"Ini termasuk perkhidmatan baru (dikenakan cukai di bawah cukai perkhidmatan) iaitu logistik, yang tertakluk kepada kadar cukai perkhidmatan enam peratus,” tambahnya.
Firma audit Deloitte Malaysia meramalkan tahun lepas bahawa perubahan cukai perkhidmatan akan menambah hasil kerajaan sebanyak RM900 juta tahun ini.
Selain cukai perkhidmatan yang disemak, langkah cukai lain di bawah Belanjawan 2024 termasuk cukai barangan mewah pada kadar lima hingga 10 peratus bagi barangan seperti kereta, barang kemas dan jam tangan melebihi nilai tertentu.
Ia dijangka berkuat kuasa pada 1 Mei dan membawa masuk RM700 juta setahun ke dalam kantung hasil kerajaan.
Apa kata pengkritik?
Persatuan Fisioterapi Malaysia dan Persatuan Fisioterapi Pengamal Swasta telah bersama-sama menggesa kerajaan untuk mengecualikan perkhidmatan mereka daripada cukai perkhidmatan, kerana ia mengenakan beban kewangan yang tidak perlu kepada mereka yang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan.
Ini terutama bagi pesakit seperti mereka yang mengalami cerebral palsy, yang memerlukan rawatan sepanjang hayat, lapor Bernama memetik persatuan tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai